Malaysia syurga pelancongan kesihatan

Hospital-hospital swasta di Malaysia alami transformasi hebat, beri keyakinan kepada warga antarabangsa dapatkan rawatan

No Image Caption
A
A
A

PERDANA Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah meluahkan keyakinan bahawa negara mampu menjadi pusat kepada pelancongan kesihatan berdasarkan usaha padu yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak.

Bidang itu juga katanya, mampu menjadi antara penyumbang pertumbuhan ekonomi negara pada masa akan datang.

Berdasarkan statistik pada tahun 2017, sektor itu mencatatkan perolehan kira-kira RM1.3 bilion dengan lebih satu juta ketibaan pelancong kesihatan.

Dengan pertumbuhan itu menyumbang lebih RM3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Jumlah pelancong kesihatan turut direkodkan meningkat kepada 1.05 juta berbanding 921,000 pada tahun 2016, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia, Sherene Azli kepada Bernama baru-baru ini.

Penyusutan nilai ringgit juga kata Sherene, berperanan menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan kesihatan. Sebahagian besar warga antarabangsa yang sanggup terbang ke negara ini dilihat banyak mendapatkan rawatan seperti kesuburan, kardiologi, pergigian, kosmetik, ortopedik, onkologi dan banyak lagi.

Dalam laporan khas empat muka surat pada minggu ini, Sihat:Aktif akan mengupas secara menyeluruh mengenai pelancongan kesihatan yang memberi impak signifikan kepada negara.

Wartawan AZIMAH GHAZALI dan NAIMAH MUHAMMAD turut mewawancara beberapa individu penting di sebalik perkembangan hebat industri itu termasuk pengalaman positif beberapa pesakit luar negara.

Artikel Berkaitan:

Prospek kesihatan

UMUM mengetahui bahawa Malaysia memiliki tarikan tersendiri menerusi kepelbagaian etnik, bahasa, budaya dan alam sekitar yang cukup memukau. Faktor-faktor itulah yang menjadi magnet kepada pelancong luar bertandang ke negara tercinta ini.

Di sebalik semua itu, sektor pelancongan kesihatan atau pelancongan perubatan merupakan satu lagi cabang baharu yang sedang mencuri tumpuan dunia. Malaysia kini dikatakan sedang mengekori rapat negara jiran seperti Thailand dan Korea Selatan yang terlebih dahulu mendahului sektor berkenaan.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pada tahun ini, Malaysia menyasarkan pulangan hasil daripada sektor pelancongan kesihatan sebanyak RM1.8 bilion.

"Daripada jumlah itu, kita menjangkakan ia mampu memberi pulangan ekonomi sebanyak RM6 bilion melalui kesan rantaian apabila pelancong kesihatan turut berbelanja melalui penginapan, aktiviti pelancongan, membeli-belah dan pengangkutan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dari segi kos, jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat, pesakit dapat berjimat sehingga 85 peratus jika memilih hospital swasta di Malaysia.

Jika diimbas sejarah perkembangan sektor pelancongan kesihatan di Malaysia, sebenarnya ia bukanlah satu bidang yang masih hijau.

Menurut Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), negara sudah lama mempunyai kualiti penjagaan kesihatan berkelas dunia.

Sebuah organisasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) iaitu International Living telah meletakkan Malaysia sebagai negara teratas untuk kategori penjagaan kesihatan dalam Indeks Persaraan Global. Kedudukan itu bertahan selama tiga tahun berturut-turut bermula dari tahun 2015 hingga 2017.

Pada masa sama, International Medical Travel Journal di United Kindom juga mengiktiraf negara sebagai Destinasi Kesihatan dan Pelancongan Perubatan Terbaik (tiga tahun berturut-turut).

Berdasarkan statistik, jumlah pelancong kesihatan yang mencecah 643,000 orang pada tahun 2011 telah meningkat lebih 1.2 juta sejak sedekad lalu. Berikut ialah perangkaan dari tahun 2011 hingga 2018.

Impak daripada peningkatan mendadak jumlah pelancong kesihatan melalui cabang perkhidmatan logistik dan hospitaliti telah menyumbang hampir RM1.5 bilion kepada Malaysia Healthcare iaitu jenama milik MHTC.

Jumlah itu lumayan, bukan? Pulangan tersebut berpotensi menyumbang kira-kira RM5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara.

Sememangnya, sektor pelancongan perubatan negara sedang berkembang pesat pada kadar purata antara 16 hingga 17 peratus setiap tahun, melebihi purata pertumbuhan serantau sebanyak 12 hingga 14 peratus setiap tahun.

Mengulas perkembangan positif itu, Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli berkata, perkhidmatan rawatan kesihatan negara kini kian memperoleh kepercayaan dalam kalangan warga antarabangsa.

Sherene
Sherene

"Melihat situasi baik itu, kami di Malaysia Healthcare sentiasa melakukan persediaan terbaik bagi mengalu-alukan lebih ramai pesakit negara luar ke Malaysia mendapatkan rawatan di sini," katanya.

Hub kardiologi, kesuburan

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa bidang perubatan di negara ini sudah hampir menyamai taraf negara maju. Masakan tidak, Malaysia diiktiraf Hub Kesuburan dan Kardiologi Asia, menurut MHTC Informatics Malaysia.

Pencapaian hebat itu dengan cepat telah menarik perhatian penduduk dari Indonesia, China, India, Vietnam dan Myanmar ke negara untuk mendapatkan rujukan dan khidmat pakar dalam hal kesuburan dan kardiologi.

Berdasarkan laporan MHTC Informatics juga, antara tahun 2011 hingga 2016, terdapat peningkatan hampir 300 peratus pelancong kesihatan dari China yang mendapatkan rawatan kesuburan.

"Pada tahun 2017, purata 6,000 hingga 7,000 program kitaran pembenihan in-vitro telah dilakukan. Jumlah itu dianggarkan meningkat kepada 20,000 kitaran menjelang tahun 2020,” kata laporan itu.

Lebih manis lagi, satu daripada dua pesakit berjaya hamil selepas itu.

Satu lagi indeks yang meningkatkan lagi kredibiliti sektor pelancongan kesihatan negara apabila lima daripada 23 pusat kesuburan di seluruh dunia mempunyai akreditasi yang disahkan oleh Jawatankuasa Akreditasi Teknologi Reproduktif.

Bagaimana pula dengan hal melibatkan kepakaran jantung? Berdasarkan rekod, terdapat sebanyak 38 hospital yang dilengkapi dan memenuhi rawatan kesihatan jantung. Secara totalnya, negara mempunyai 55 pakar bedah kardiotoraks.

Jalinan kerjasama

Bagi memastikan bidang pelancongan kesihatan terus berada pada landasan lebih utuh, MHTC bekerjasama erat dengan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).

Bekas Presiden APHM, Datuk Dr Jacob Thomas berkata, pihaknya tidak menafikan bahawa sistem penjagaan kesihatan di seluruh dunia kini telah merentas satu anjakan paradigma dan transformasi termasuklah di negara ini.

Menurutnya, Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan awam yang terbaik.

"Resipi kepada penawaran khidmat kesihatan yang bagus dan menyeluruh ialah kerjasama mantap yang dijalin dengan hospital swasta. Faktor itu dilihat berjaya memacu perkembangan sektor kesihatan negara. Hospital mana yang lebih memudahkan pesakit, rawatan terbaik dan harga berpatutan, pasti mampu menarik perhatian termasuk mereka dari luar negara," katanya ketika diwawancara sebuah laman web berkaitan kesihatan dan ekonomi sebelum ini.

Jalinan usahasama itu katanya, secara tidak langsung dapat membantu menambah isi poket kerajaan.

Prestij PCMC

Secara keseluruhannya, terdapat 76 ahli MHTC dengan 21 ahli elit dan 55 ahli biasa. Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) merupakan ahli elit yang diiktiraf oleh Medical Travel Quality Alliance sebagai 10 Hospital Terbaik di Dunia untuk Pelancong Perubatan sejak tahun 2013 hingga kini!

Melihat reputasi gah itu, Pengarah Komersial PCMC, Vincent Wan berkata, pihaknya cuba mengekalkan konsistensi kejayaan berkenaan.

Vincent
Vincent

Menceritakan tentang perkhidmatan PCMC, Vincent berkata, PCMC mempunyai perunding subkhusus kesihatan yang paling lengkap dalam semua bidang.

"Rawatan yang melibatkan wanita, kanak-kanak, pesakit jantung dan paru-paru adalah antara beberapa kepakaran yang terdapat di PCMC. Kami juga mempunyai pakar berpengalaman dalam bidang ortopedik, urologi, nephrologi dan kesihatan lelaki, rawatan kesuburan IVF dan juga kepakaran lain. Kesemua disiplin itu disokong dengan teknologi moden, pakar dan jururawat bertauliah serta berkemahiran,” katanya kepada Sihat:Aktif.

Vincent yakin dengan tawaran harga perubatan yang berbaloi berupaya menarik perhatian orang luar.

x-default
x-default

"Seperkara, faktor pesakit luar negara suka ke sini disebabkan kemampuan doktor dan staf kami yang boleh bercakap pelbagai bahasa," katanya.

Pencapaian PCMC juga bukan calang-calang. Pusat perubatan itu diiktiraf sebagai Pembekal Perkhidmatan Diabetes, Penyedia Perkhidmatan Pediatrik, Pembekal Perkhidmatan Ortopedik 2019 untuk kategori di Asia Pasifik.

PCMC juga memenangi anugerah daripada Global Health Travel dalam empat kategori iaitu Hospital of the Year Malaysia 2019 baru-baru ini·

Kredibiliti IJN

Kredibiliti Institut Jantung Negara (IJN) juga tidak perlu dipertikaikan lagi. IJN telah melaksanakan 150,000 rawatan kardiologi termasuk 37,000 pembedahan jantung dan 20,000 pembedahan kardiotorasik pediatrik sejak penubuhannya.

IJN juga telah mendapat pengiktirafan Joint Commision International, AS. Pengiktirafan yang diberikan itu berdasarkan perkhidmatan perubatan dan pengurusan hospital yang memberi perhatian kepada keselamatan pesakit.

Menurut Ketua Pegawai Operasi IJN, Akmal Arief Mohamed Fauzi, dari tahun ke tahun, jumlah pesakit luar negara meningkat secara drastik.

Akmal Arief
Akmal Arief

"Kami menerima lebih kurang 5,000 pesakit setiap tahun merangkumi pesakit luar negara. Kebanyakan mereka berasal dari Indonesia iaitu kira-kira 70 peratus dan bakinya datang dari Bangladesh, Vietnam dan Myanmar,” ujarnya.

Akmal Arief memberitahu Sihat:Aktif, warga Indonesia cenderung memilih Malaysia disebabkan keserasian, bahasa, budaya, makanan dan jarak logistik yang lebih dekat.

Sama seperti PCMC, masyarakat antarabangsa yang bertandang ke institusi itu ibarat sambil menyelam minum air.

"Sudah pasti selepas sembuh, mereka akan ambil kesempatan beristirehat bersama keluarga dengan melawat destinasi menarik. Itu juga terapi yang baik untuk cepat pulih," katanya.

IJN menyediakan rawatan kardiovaskular terbaik di rantau ini. - Gambar hiasan
IJN menyediakan rawatan kardiovaskular terbaik di rantau ini. - Gambar hiasan

Bukan sekadar merawat pesakit

MESRA pelanggan, memiliki tenaga pakar mahir, infrastruktur moden selain bersifat Islamik dan halal menjadi antara formula signifikan kepada Pusat Mata & Lasik Prof Muhaya dikunjungi ramai penduduk luar negara mendapatkan rawatan di premis berkenaan.

Pusat Mata & Lasik Prof Muhaya merupakan salah satu pusat pakar yang menganggotai Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC).

Pengarah Urusannya, Addaem Chandran berkata, elemen-elemen yang diterapkan itu amat dihargai pesakit antarabangsa hingga mendorong mereka meninggalkan komen yang positif melalui laman web.

Addaem
Addaem

"Rata-rata pesakit memberi skor lima markah penuh. Ulasan yang diberikan juga cukup positif. Alhamdulillah, satu perkembangan yang menarik," katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama kru Sihat:Aktif di Pusat Mata & Lasik Prof Muhaya di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Ujar Addaem, terdapat juga pesakit hadir ke pusat rawatannya selepas melihat keberkesanan rawatan yang diterima oleh rakan taulan atau saudara-mara mereka sebelum itu.

"Pusat ini tidak hanya menyediakan rawatan kesihatan mata dengan pakar yang diperakui, malah kami berkhidmat dan melayani pesakit yang kami anggap tetamu dengan akhlak yang baik.

"Misalnya, pada waktu solat, warga kerja pusat ini akan sama-sama bersolat jemaah dengan pesakit. Secara tidak langsung, pesakit yang bukan Islam dapat melihat akhlak kita ketika melayani tetamu. Ini juga merupakan salah satu cara kami berdakwah," katanya yang sentiasa memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa demi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan.

PROF Muhaya membuat pemeriksaan ke atas salah seorang pelanggan yang menghadapi masalah mata.
PROF Muhaya membuat pemeriksaan ke atas salah seorang pelanggan yang menghadapi masalah mata.

Rawatan

Berdasarkan rekod, sejak beroperasi pada tahun 2014, Pusat Mata & Lasik Prof Muhaya sudah menerima kedatangan pesakit dari Singapura, Brunei, Indonesia, Bangladesh, Arab Saudi, Yemen, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Justeru, dari segi kos perubatan dilihat, ia sangat berbaloi jika dinilai daripada nilai ringgit yang sedikit rendah.

"Secara puratanya, Pusat Mata & Lasik Prof Muhaya menerima lebih kurang 9 peratus pesakit antarabangsa.

"Kami mengharapkan angka tersebut akan naik tiga tahun akan datang berdasarkan keupayaan Malaysia menyediakan tempat pelancongan yang menarik buat pelancong asing," katanya yang berharap dapat menyediakan penginapan buat pesakit kelak.

Addaem juga percaya kerjasama dengan MHTC dapat membantu memperkenalkan Malaysia ke persada antarabangsa.

ANEKDOT

Pelancongan kesihatan di Malaysia

MHTC:• Sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.

• Ditubuhkan pada tahun 2009 untuk memudah dan mengembangkan industri penjagaan kesihatan Malaysia di bawah jenama Malaysia Healthcare dengan matlamat menjadikan Malaysia destinasi penjagaan kesihatan utama di dunia.

• Malaysia Healthcare merupakan contoh model perkongsian awam-swasta (PPP) yang berjaya dalam mengembangkan sektor pelancongan kesihatan di Malaysia.

• Mempunyai 76 ahli (21 ahli elit, 55 ahli biasa)

Inisiatif Utama MHTC untuk tahun 2020:

• Malaysia Tahun Pelancongan Kesihatan 2020 (MYHT 2020)

• Menggunakan tagline Pengalaman Malaysia Healthcare.

• MYHT 2020 bertujuan menggerakkan Malaysia ke peringkat dunia.

• Memulakan kempen pada tahun 2019 yang dikenali sebagai Share My Experience (SMX) bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai Malaysia Healthcare.

Ciri-ciri Malaysia Healthcare:

1) Kualiti kelas dunia•Para pesakit dipantau secara teliti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

•Mendapat akredatasi antarabangsa.

•Mempunyai kemudahan teknologi moden.

•Pakar, pegawai, staf yang terlatih.

2) Mudah diakses

•Waktu menunggu yang minimum.

•Pelbagai jenis rawatan disediakan.

•Akses terus dengan pakar.

3) Kemampuan yang kompetitif

• KKM mengawal kadar siling untuk rawatan penjagaan kesihatan

• Harga lebih rendah berbanding pesaing lain di rantau ini.

4) Komunikasi•Rata-rata boleh berbahasa Inggeris, Hindi, Mandarin, Melayu dan banyak lagi.

•Mempunyai ramai penterjemah.

5) Hub Halal Global•Memiliki banyak kemudahan seperti surau.

•Penggunaan bahan perubatan yang halal.

•Mempunyai makanan halal yang banyak.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi:

Laman web: www.medicaltourismmalaysia.com

Telefon: 03-2726 8688 / 1 800 188 688