Cabaran ASEAN bida Piala Dunia 2034

No Image Caption
A
A
A

ANTARA topik hangat yang diperbincangkan dalam kalangan peminat sukan di rantau Asia Tenggara sepanjang minggu lepas sudah pasti terarah kepada hasrat negara-negara anggota ASEAN hendak membida bersama penganjuran Piala Dunia FIFA 2034.

Walaupun soal penganjuran kejohanan bola sepak terbesar dunia itu bukan perkara baru kerana sudah dibangkitkan beberapa kali sebelum ini sejak sedekad lalu, perkembangan pada kali ini dilihat lebih kukuh apabila pemimpin tertinggi kesemua 10 anggota ASEAN bersetuju untuk mengemukakan bidaan tersebut.

Perkara itu diumumkan Pengerusi ASEAN yang juga Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan o-cha pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok, 23 Jun lepas.

Malah, kajian kebolehlaksanaan sudah sepatutnya selesai dijalankan apabila usaha untuk memulakan kajian itu dikatakan sudah dipersetujui pada peringkat Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan ASEAN pada 2015, apabila Malaysia menjadi tuan rumah sidang kemuncak tersebut.

ASEAN, dengan jumlah penduduk 640 juta orang, ekonomi ketiga terbesar di Asia dan ketujuh terbesar dunia (dijangka menjadi keempat terbesar dunia pada 2030), sememangnya mempunyai peminat dan pengikut yang fanatik terhadap bola sepak, baik melibatkan saingan Piala Dunia, serantau atau liga terkemuka dunia seperti Liga Perdana Inggeris dan La Liga Sepanyol.

Bagaimanapun, timbul beberapa cabaran dan persoalan mengenai impian besar negara-negara ASEAN untuk menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak paling berprestij itu, antaranya:

Kemampuan kewangan Kos penganjuran kejohanan bola sepak terunggul dunia itu bukan kecil dan negara-negara ASEAN perlu bersedia membelanjakan kos berbilion ringgit bagi menyediakan kemudahan dan stadium. Rusia dilaporkan membelanjakan kos melebihi US$11 bilion (lebih kurang RM45 bilion) untuk menganjurkan Piala Dunia 2018. Tuan rumah edisi 2014, Brazil pula dilaporkan membelanjakan sekitar US$15 bilion (kira-kira RM62 bilion), peningkatan US$4 bilion yang dibelanjakan Afrika Selatan bagi edisi 2010.

Malah, kos membuat bidaan juga bukan sedikit. Sebagai rekod, England membelanjakan £21 juta (kira-kira RM110 juta) untuk membida Piala Dunia 2018 yang dimenangi Rusia. Kos edisi 2034 pastinya akan meningkat berikutan inflasi dan keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk meningkat jumlah pasukan bertanding dari 32 ke 48.

Artikel Berkaitan:

Infrastruktur Antara syarat untuk menganjurkan Piala Dunia ialah negara penganjur perlu memiliki kemudahan dan infrastruktur baik. Negara penganjur juga perlu menyediakan stadium dengan kapasiti minimum 80,000 tempat duduk untuk perlawanan pembukaan dan final, minimum 60,000 tempat duduk bagi aksi separuh akhir dan 40,000 tempat duduk untuk perlawanan pusingan awal. Namun, infrastruktur dibina untuk kejohanan terkemuka juga sering kali menjadi ‘gajah putih’ selepas temasya sukan itu berakhir.

Mengikut panduan pembidaan FIFA, negara penganjur juga harus memiliki kemudahan jalan raya, pengangkutan awam, hotel penginapan mencukupi untuk menampung pemain, ahli pasukan dan pengadil, selain tempat latihan khas untuk setiap pasukan. Penyediaan infrastruktur, terutamanya jika dibina baru boleh menelan kos besar.

Israel Negara penganjur perlu memberi jaminan kepada FIFA bahawa semua negara bertanding akan dijaga dan dibenarkan bertanding. Oleh kerana Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel, warga negara berkenaan tidak dibenarkan untuk memasuki negara ini, kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Kementerian Dalam Negeri.

Sekiranya Israel, menduduki ranking ke-82 dunia, mencipta kejutan untuk layak ke Piala Dunia 2034, akan timbul masalah dan persoalan mengenai penyertaan negara berkenaan, terutamanya apabila Malaysia dan Indonesia tiada hubungan diplomatik dengan Israel. Untuk rekod, Israel pernah layak ke Piala Dunia pada edisi 1970 di Mexico.

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini dibatalkan hak untuk menganjurkan Kongres FIFA 2017, yang turut menyaksikan pengundian tuan rumah Piala Dunia 2026, kerana tiada jaminan untuk mendapatkan visa perjalanan bagi delegasi dari negara berkenaan.

Pada awal tahun ini, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) pula melucutkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 dijadual di Kuching, Sarawak bermula 29 Julai hingga 4 Ogos kerana kerajaan Malaysia gagal memberi jaminan kepada perenang negara itu.

Bagaimanapun, beberapa warga Israel pernah memasuki Malaysia dengan kebenaran kerajaan sebelum ini, iaitu pada 1997 pasukan kriket Israel menyertai pertandingan Piala Majlis Kriket Antarabangsa (ICC), selain pemain Chelsea, Yossi Benyoun beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Harimau Malaya pada 2011.

Pada sesi Parlimen April lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata seramai 105 warga Israel dibenarkan memasuki Malaysia dari 2016 hingga Mac 2019.

Pengalaman dan Ranking Negara-negara anggota ASEAN pula kurang pengalaman beraksi di peringkat tertinggi seperti Piala Dunia untuk memberi saingan kepada pasukan-pasukan ‘elit’ atau untuk mengelak daripada menjadi pasukan belasahan.

Hanya Indonesia satu-satunya negara ASEAN pernah beraksi di Piala Dunia ketika edisi 1938 di Perancis. Indonesia ketika itu dijajah Belanda, dikenali sebagai Dutch East Indies. Bagaimanapun, pasukan itu bernasib malang apabila terpaksa bertemu kuasa besar, Hungary seawal pusingan pertama dan tersingkir dengan kekalahan 0-6. Hungary menamatkan saingan di tempat kedua selepas tewas 2-4 kepada Itali di final.

Dari segi ranking, tiada negara ASEAN menduduki ranking 50 teratas dunia buat masa ini. Pasukan menghuni ranking tertinggi kini ialah Vietnam berada di tempat ke-96 dunia, diikuti Thailand (116), Filipina (126), Myanmar (138), Malaysia (159), Indonesia (160), Singapura (162), Kemboja (169), Laos (188) dan Brunei (193).

China Kuasa besar Asia, China dilihat berminat untuk menganjurkan Piala Dunia 2030. Negara tembok besar itu, dilihat mempunyai kekuatan kewangan sebagai ekonomi kedua terbesar dunia dan infrastruktur yang diperlukan untuk menganjurkan kejohanan itu. Sebagai tuan rumah Piala Asia 2023, China sudah bersedia membina stadium khas untuk bola sepak di sembilan dari 12 bandar raya yang akan menjadi tuan rumah Piala Asia 2023.

Jika China berjaya dalam bidaan untuk Piala Dunia 2030, peluang sangat tipis buat ASEAN untuk menjadi tuan rumah edisi seterusnya kerana kejohanan itu tidak boleh diadakan di benua sama untuk berturut-turut. Untuk rekod, Piala Dunia hanya pernah diadakan di Asia sekali sebelum ini, pada 2002 di Jepun dan Korea Selatan, manakala Qatar akan menjadi tuan rumah kedua dari Asia pada 2022.

Negara Tuan Rumah Satu lagi persoalan ialah berapa banyak negara akan menjadi tuan rumah jika ASEAN menganjurkan Piala Dunia. Jepun dan Korea Selatan menjadi negara pertama menganjurkan Piala Dunia secara bersama, manakala 2026 bakal menjadi edisi pertama akan dianjurkan tiga negara – Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Jika kesemua 10 negara mahu menganjurkan kejohanan itu secara bersama, ia dilihat tidak ideal dan kurang daripada empat negara dianggap paling ideal kerana faktor logistik, kemudahan dan teknikal. Selain itu, proses kelayakan sebagai tuan rumah juga agak rumit jika kesemua 10 negara menjadi hos bersama kerana seluruh benua Asia hanya diberikan lapan slot bermula edisi 2026 (selepas format kejohanan ditukar kepada 48).

Biarpun berdepan pelbagai cabaran yang perlu diatasi, setiap halangan sudah pastinya ada penyelesaian. Tiada apa yang mustahil.

Pemimpin negara-negara ASEAN tentunya sudah mengambil kira segala cabaran yang bakal dihadapi dalam usaha merealisasikan hasrat besar ini untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA pada masa akan datang. - Bernama