Kerajaan wajib sokong usaha Ketua Polis Negara

Abdul Hamid Bador. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Abdul Hamid Bador. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SATU pandangan yang tepat dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador terhadap integriti lebih 100,000 anak buahnya.

Ramai daripada mereka mempunyai ciri-ciri yang baik dalam diri. Mereka diberikan latihan yang cukup di pusat latihan, diberikan ilmu, dilatih dengan disiplin tertentu untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota dan pegawai polis.

Kata Abdul Hamid, berlaku kelemahan penyeliaan pegawai atasan untuk menyelia peringkat bawahan menyebabkan ada yang tersasar daripada tanggungjawab dan amanah ketika melaksanakan tugas.

Ternyata, orang nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu mempunyai strategi untuk mengembalikan integriti polis.

Beliau dengan tegas melarang warganya daripada mendekati pihak-pihak yang terlibat dalam aktiviti dadah, judi dan maksiat!

Beliau tidak lagi mahu warganya berhibur dengan percuma, sambut hari jadi di pusat hiburan dan ditaja oleh tauke-tauke penjenayah.

Usaha berperingkat oleh Abdul Hamid perlu disokong Kabinet kerana jika tidak, segala usaha untuk meningkatkan integriti PDRM tidak akan ke mana dan hangat-hangat tahi ayam.Sebagai anak konstabel polis yang bermula daripada bawah, beliau sudah pasti memahami apa yang berlaku di peringkat bawah hingga ke atas dalam pasukan polis.

Hanya yang rapat dengan mereka tahu jerit-perih dan dugaan yang dihadapi setiap warga PDRM dalam menguatkuasakan undang-undang pada era zaman moden yang cukup mencabar ini.

Artikel Berkaitan:

Misalnya, permintaan beliau agar kerajaan pertimbangkan kenaikan gaji Sarjan ke bawah supaya ia seiring dengan cabaran kos sara hidup di bandar-bandar besar perlu segera dipertimbangkan.

Walaupun Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, permintaan itu memerlukan sedikit kesabaran kerana negara berhadapan masalah kewangan ketika ini, ia perlu segera dicari solusinya agar cadangan itu tidak senyap begitu sahaja.

Ini kerana pengorbanan yang dilakukan oleh warga PDRM cukup besar dalam memastikan negara kita aman dan sejahtera.

Pengorbanan mereka mempertaruhkan nyawa-ketika kita nyenyak dibuai mimpi tidak ternilai jika diukur dengan wang ringgit.