KOM jangan terburu-buru lantik Harun: Syed Saddiq

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menasihatkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) supaya tidak terburu-buru untuk melantik Harun Rasheed sebagai jurulatih pecut kebangsaan.

Syed Saddiq berkata, beliau menyokong pandangan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) supaya KOM tidak berdepan penggantungan daripada Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) dan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dengan mengingkari hukuman penggantungan terhadap Harun.

“Adamas, agensi bawah KBS (Kementerian Belia dan Sukan) yang mengendalikan isu doping, memaklumkan kes ini agak ‘clear cut’ dan pada masa sama kalau keputusan dibuat secara terburu-buru, implikasinya agak buruk, terutamanya di peringkat antarabangsa.

“So I stick to the decision yang diberikan Adamas, we must stick to the rule of law, itu paling mustahak sekali,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan mesra bulanan dan sambutan ulang tahun pertama pentadbiran kerajaan baharu peringkat KBS di Menara KBS di sini, hari ini.

Presiden KOM baharu, Datuk S. M. Muthu sebelum ini berkata mahu melantik Harun, yang masih menjalani hukuman penggantungan, sebagai jurulatih pecut kebangsaan.

Susulan itu, Adamas menasihatkan supaya KOM mengemukakan rayuan kepada IAAF dan WADA terlebih dahulu untuk mengurangkan hukuman itu, yang masih berbaki dua tahun, sebelum melantik Harun.

Untuk rekod, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada 2011 menjatuhkan hukuman penggantungan selama 10 tahun kepada bekas jurulatih pecut kebangsaan itu atas dakwaan menjadi dalang terhadap isu enam atlet negara melarikan diri daripada ujian doping.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, pihaknya akan meneruskan pembangunan hoki di peringkat akar umbi dengan mengambil Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) sebagai contoh.

Artikel Berkaitan:

“Kita dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) sepatutnya memang nak teruskan program di peringkat akar umbi, Program Thunderbolts. Sebelum ini sudah capai kata sepakat dengan TNB cuma saya rasa sebab ada pertukaran antara pimpinan TNB, saya perlu jumpa balik dan berunding semula.

“Jadi, kita akan pastikan ia dapat dimuktamadkan secepat mungkin, sebab bagi bola sepak, PPBN telah mendapat bajet daripada Kementerian Kewangan buat pertama kali berjumlah RM15 juta setiap tahun.

“Bagi hoki kita kena lakukan perkara sama. I take interest khususnya selepas perkembangan skuad hoki wanita menyaksikan pasukan kita meningkat dua tangga ke kedudukan ke-20 dunia dan meraih tempat ketiga pada kejohanan FIH Siri Akhir di Banbridge, Ireland Utara baru-baru ini,” katanya.

Sebuah akhbar hari ini, melaporkan pembangunan sukan hoki negara berhadapan risiko besar apabila status program pengganti bagi Program Pembangunan Hoki 1Mas, yang dimulakan pada 2010 masih belum diketahui sejak setahun lepas.- Bernama