Tumpu sayur hidroponik di Langkawi

Azman (dua kiri) sempat bertanyakan sesuatu kepada Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM, Jamaluddin Othman (tiga kiri) yang turut hadir ke Jamuan Aidilfitri LKIM di Kuala Kedah, semalam.
Azman (dua kiri) sempat bertanyakan sesuatu kepada Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM, Jamaluddin Othman (tiga kiri) yang turut hadir ke Jamuan Aidilfitri LKIM di Kuala Kedah, semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mahu memberi tumpuan kepada usaha tanaman sayur-sayuran secara hidroponik dan aquaponik untuk menampung permintaan tinggi industri perhotelan terhadap makanan itu di Langkawi.

Exco Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin berkata, pihaknya sedang mengenalpasti bangunan yang terbiar untuk dijadikan sebagai pusat tanaman tersebut berikutan kawasan yang terhad di pulau itu.

Menurutnya, usaha tersebut dipandang serius oleh kerajaan negeri bagi menangani kos sara hidup penduduk termasuk tempias kepada industri pelancongan.

"Permintaan yang tinggi terhadap sayur-sayuran di Langkawi menyaksikan berlakunya peningkatan harga sehingga memberi kesan kepada caj makanan yang mahal kepada pelancong.

"Sebab itu apabila adanya tanaman sayur-sayuran tempatan secara konsisten, perkara sebegini (peningkatan harga sayur mahal) dapat dielakkan," katanya pada media selepas menghadiri Jamuan Aidilfitri Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Kedah, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu pulau pelancongan itu menjadi pusat pengeluaran beras pulut terbesar negara termasuk sayur-sayuran sekaligus mengurangkan kebergantungan bekalan dari negara jiran.

Azman berkata, Kedah serius dengan pandangan tersebut apabila hotel-hotel di Langkawi terpaksa mengambil sayur-sayuran dari tanah besar dan negara jiran sekaligus berlakunya peningkatan harga makanan.

Jelasnya, hal itu juga berpunca disebabkan oleh permainan harga di antara pembekal ataupun pengimport dari luar.

Artikel Berkaitan:

"Pihak kami sedang bekerjasama dengan Jabatan Pertanian bagi mengenal pasti bangunan-bangunan terbiar di Pulau Langkawi untuk pusat tanaman sayur secara hidroponik dan aquaponik.

"Projek ini akan dijalankan dalam skala yang besar dan dijangka bermula pada hujung tahun ini atau pada awal tahun depan," katanya lagi.