Chikungunya: Kawalan diteruskan walau tiada kes baharu

DR NORHIZAN
DR NORHIZAN
A
A
A

ALOR SETAR - Tiada kes baharu Chikungunya dilaporkan di daerah Kota Setar setakat semalam.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, jumlah kes yang direkodkan di dua lokaliti, iaitu deretan kedai berhampiran City Plaza kekal 30 kes manakala di Simpang Kuala dengan tujuh kes, menjadikan keseluruhan sebanyak 37 kes.

Menurutnya, kes terakhir yang dilaporkan di Simpang Kuala adalah pada Rabu lalu manakala di City Plaza pada Khamis.

“Tiada pertambahan kes dilaporkan di kedua-dua lokaliti wabak dan keadaan kesemua mangsa juga stabil,” katanya, dalam kenyataan media, hari ini. Dr Norhizan berkata, walaupun tiada kes baharu dilaporkan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar tetap meneruskan aktiviti ulangan kawalan vektor di City Plaza dan melakukan semburan kabus di 434 premis pada Ahad.

“Kawalan sama turut dilakukan di Simpang Kuala melibatkan 281 premis diperiksa, sejumlah 16 kompaun dikeluarkan bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dengan nilai RM8,000 kepada pemilik premis yang membiak aedes,” katanya.

Menurutnya, PKD Kota Setar masih menjalankan tindakan pencegahan dan kawalan melibatkan pengesanan kes secara aktif (ACD), promosi kesihatan kepada penduduk setempat serta melakukan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit sendi terutama di kawasan Jalan Tunku Ibrahim sekitar City Plaza dan Simpang Kuala dinasihatkan mendapatkan rawatan lanjut di pusat kesihatan berdekatan,” katanya.

Wabak Chikungunya di Kota Setar mula dikesan pada 23 Jun lalu apabila 23 individu yang tinggal di deretan rumah kedai berhampiran City Plaza, disyaki menghidap penyakit itu selepas mempunyai tanda-tanda demam, sakit sendi teruk dan ruam.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah itu, 15 orang disahkan positif Chikungunya menerusi hasil ujian darah.

Wabak itu dikesan di lokasi kedua, sehari selepas itu di Simpang Kuala dengan empat orang lagi disahkan positif penyakit itu.

Siasatan awal mendapati gejala itu bermula pada 9 Jun di mana kebanyakan pesakit telah mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik swasta sekitar Alor Setar.