Modul Stream persiap kanak-kanak kemahiran pendidikan berteraskan

Rina Mohd Harun
Rina Mohd Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Modul pengajaran dan pembelajaran Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (Stream) yang diperkenalkan di taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bakal mempersiapkan kanak-kanak dengan kemahiran pendidikan berteraskan kecerdasan buatan (AI).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, program yang dikenali sebagai Kemas Pintar Stream itu dibangunkan seiring dengan gelombang Revolusi Industri 4.0.

"Modul pengajaran dan pembelajaran Pintar Stream dilengkapi dengan simulasi atau latihan praktikal yang bersifat interaktif (e-Stream) berkaitan tema industri seperti astronomi, marin, minyak dan gas, kesihatan, robotik dan automotif sekaligus menarik minat kanak-kanak untuk seronok ke sekolah.

"Pembelajaran kreatif dan berinovasi merupakan pendedahan awal untuk kanak-kanak memupuk minat mereka dalam bidang atau industri tertentu selain menggalakkan mereka meneroka sesuatu yang baharu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tabika Kemas Pintar Stream (Robotik), Keramat Nur Titiwangsa di sini, hari ini.

Rina berkata, pelaksanaan modul Pintar Stream yang sedang diperluaskan ke seluruh negara itu diharap dapat dinikmati serta dimanfaatkan oleh kanak-kanak bukan sahaja di kawasan bandar malah juga di luar bandar.

Projek perintis bagi modul Stream telah dimulakan serta dirasmikan oleh Rina di Tabika Kemas Chabau, Jasin di Melaka dengan tema model penerbangan pada Oktober lepas yang menerima maklum balas sangat baik dari segi perkembangan dan kompentensi kanak-kanak.

Selain robotik di Selangor dan penerbangan di Melaka, Kemas memperkenalkan 12 lagi tema berbeza di 12 negeri antaranya sains akuatik (Pulau Pinang), aeroangkasa (Perak) astronomi (Johor) geosians (Kelantan) serta minyak dan gas di Sarawak dan Terengganu.

Inisiatif tersebut yang merupakan kerjasama pelbagai pihak termasuk Universiti Pendidikan Sultan Idris, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, Persatuan Pertubuhan Sekolah Belantara Malaysia, CECD Group of Education itu akan diperluaskan ke semua 11,119 Tabika Kemas di seluruh negara pada tahun hadapan dengan kos naik taraf RM50,000 untuk setiap Tabika. - Bernama

Artikel Berkaitan: