LHDN nafi laporan portal berita lakukan siasatan ala 'gangster'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan laporan sebuah portal, kononnya pegawai agensi itu melakukan operasi siasatan ala ‘gangster’ ketika membuat lawatan mengejut ke sebuah kolej swasta di sini, Mac tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, siasatan melalui kaedah lawatan mengejut seperti itu juga sudah dihentikan serta-merta sejak Mei tahun sama, iaitu selepas kerajaan baharu mengambil alih pemerintahan negara.

Menurutnya, merujuk kepada operasi siasatan yang dilaporkan di portal berkenaan, seperti mana kes siasatan yang lain, tindakan siasatan diambil setelah memberi pertimbangan kepada semua maklumat dan bukti risikan yang diperoleh dan dianalisa berkaitan dengan pembayar cukai terbabit.

“Proses kerja berhubung dengan tindakan siasatan ini telah digariskan di dalam Rangka Kerja Siasatan Cukai yang boleh diakses melalui portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my.

“Hasil siasatan mendapati pembayar cukai dan syarikat milik beliau telah gagal untuk mengisytiharkan pendapatan daripada perniagaan yang membabitkan sejumlah pelarian cukai yang besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabin berkata, bagaimanapun LHDN juga tertakluk kepada kerahsiaan mengikut Seksyen 138, Akta Cukai Pendapatan 1967, di mana sebarang maklumat terperinci berhubung perkara berkenaan tidak boleh didedahkan kepada pihak ketiga.

Tegasnya lagi, berdasarkan kepada semakan awal terhadap kes siasatan yang dilaporkan oleh portal berkenaan, operasi siasatan yang dimaksudkan itu dilaksanakan secara profesional selaras dengan rangka kerja siasatan dan peruntukan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

“LHDN juga sedang mempertimbangkan dan mengkaji secara serius dakwaan yang dibuat serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba untuk mencemar imej dan nama baik agensi ini dengan membuat dakwaan yang tidak benar,” katanya.

Artikel Berkaitan: