'Jangan buang masa kalau tak tahu apa-apa'

Che Zakaria Mohd Salleh
Che Zakaria Mohd Salleh
A
A
A

KOTA ISKANDAR - ADUN Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh melahirkan kekecewaan ke atas Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang mengendalikan isu pencemaran udara di Pasir Gudang.

Beliau yang juga ADUN PH mempertikaikan kenyataan kementerian bertanggungjawab yang masih tidak mengetahui punca kejadian pencemaran tersebut.

"Apa yang mengecewakan Permas adalah apa yang dimaksudkan kementerian bertanggungjawab apabila membuat kenyataan media bahawa pencemaran kali ini tidak diketahui puncanya serta mengetepikan gas toksik berbahaya sebagai salah satu punca utama.

"Keputusan dibuat hanya dengan sampel lapan pelajar daripada beratus mangsa. Agak terlalu rendah peratusan sampel kajian untuk mengumumkan hasil kajian sebuah kementerian," katanya pada sesi Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di persidangan DUN Johor ke -14 di sini hari ini.

Che Zakaria berkata, kementerian perlu mencari agensi luar yang boleh menyelesaikan misteri pencemaran di Pasir Gudang daripada membuang masa pada hal yang mereka tidak tahu.

"Jika kementerian tidak mampu untuk mengendalikan satu-satu kejadian yang dikategorikan sebagai bencana yang sudah dua kali terjadi, carilah agensi atau syarikat swasta luar yang layak dalam hal pencemaran.

"Janganlah buang masa jika kita tidak tahu apa-apa. Pemimpin perlu mencari jalan penyelesaian bukan kata kementerian tak tahu," katanya.

Menurutnya, selepas insiden pencemaran Sungai Kim Kim, kerajaan sepatutnya menjalankan kerja-kerja pencegahan.

Artikel Berkaitan:

"Pemantauan sisa bahan toksik berbahaya perlu dibuat secara kerap dan warta peraturan sementara yang menghalang kilang hasilkan gas berbahaya beroperasi.

"Kementerian perlu buat program pengenalan bahan toksik berbahaya kepada bukan sahaja kilang tapi masyarakat di Pasir Gudang. Tubuhkan jawatankuasa sementara untuk mengawal, hentikan dan mungkin melarang kerja mengendalikan bahan toksik berbahaya," katanya.

Dalam pada itu, beliau sempat mengajak semua wakil rakyat Johor menyertai majlis Solat Hajat Qubro dan Doa Menolak Bala yang akan diadakan di Pasir Gudang, Khamis ini.