Ibu rayu bantuan, anak derita kanser hidung


Mohamad Faris terlantar di rumah sewa kakaknya di Jalan Geale.
Mohamad Faris terlantar di rumah sewa kakaknya di Jalan Geale.
A
A
A

KUALA KRAI - Pesakit kanser hidung tahap empat yang sedang berjuang melawan penyakit perlukan sumbangan untuk membiayai rawatan susulan.

Mohamad Faris Hashim, 29, anak kelapan daripada sembilan beradik disahkan menghidap kanser hidung pada Ramadan tahun lalu kini terlantar di rumah sewa kakaknya di Jalan Geale.

Ibunya, Siti Timah Mat ,66, berkata, ketika anaknya disahkan menghidap kanser hidung, Allahyarham suaminya, Hashim Mahmud,71, sedang bertarung nyawa melawan penyakit yang sama.

Menurutnya, Mohamad Faris membuat pemeriksaan kesihatan setelah mengesan benjolan kecil pada bahagian kiri lehernya.

"Makcik agak terkejut mendapat berita benjolan pada leher anak sebenarnya kanser yang sama dengan suami, tapi makcik reda, umur suami pula tak panjang, arwah meninggal pada Oktober tahun lalu.

"Sementara penyakit anak selepas itu pula makin serius," katanya yang pasrah dengan ujian menimpa dirinya sekeluarga.

Wanita ini berkata, Mohamad Faris yang ketika itu bekerja sebagai pemandu lori di Kuala Lumpur terpaksa berhenti kerja kerana tahap kesihatannya makin merosot.

"Bermula Januari ini Mohamad Faris perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, (HRPZII) Kota Bharu selama enam bulan, kebiasaannya kami perlu bayar separuh kos perubatan yang berjumlah sekitar RM200 dan ia tidak termasuk untuk ulang alik ke hospital ," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, walaupun tinggal berhampiran Hospital Kuala Krai tetapi Mohamad Faris tidak dapat dirawat di hospital berkenaan kerana kesnya telah dirujuk ke HRPZII.

"Tidak lama lagi dia akan jalani rawatan kimoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia ( HUSM) Kubang Kerian dan perlu membayar sebanyak RM2,000 untuk membuat kimoterapi serta RM300 kos perubatan dan caj wad jika dua hari menerima rawatan di sini.

"Mohamad Faris juga pakai lampin pakai buang, sebelum ini adik-beradiknya bantu, tetapi masing-masing pun berpendapatan kecil dan mempunyai keluarga untuk ditanggung," katanya.

Siti Timah yang turut menghidap darah tinggi berkata, sebelum ini dia berniaga kecil-kecilan menjual sayur di pasar, tetapi sejak suaminya sakit rutin tersebut terpaksa ditinggalkan.

"Sekarang pula makcik terpaksa jaga anak, tambahan akhir-akhir ini kesihatan makcik juga merosot ,"luahnya sayu.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Kuala Krai, Zulbahri Ibrahim berkata, pihaknya meluluskan bantuan pesakit kronik terlantar atas nama ibunya.

Orang ramai berhasrat membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun BSN Siti Timah Mat, 03005 4110 0003 386.