Isu Tabung Haji: Betulkah rakyat tak kisah?

Asyraf Wajdi - FOTO SINAR HARIAN
Asyraf Wajdi - FOTO SINAR HARIAN
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempertikaikan mengenai keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat seperti takut untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dan beralasan rakyat tidak peduli isu tersebut.

Menurut Asyraf Wajdi, beliau sendiri ingin bertanya kepada rakyat sejauh mana kebenaran alasan yang diberikan kerajaan PH itu dalam isu TH.

“Adakah benar rakyat tidak kisah dengan hibah 1.25 peratus setahun sedangkan semasa Barisan Nasional (BN) memerintah purata hibah tahunan adalah 6.75 peratus? Benarkah rakyat tidak kisah dengan tuduhan PH bahawa wujud penyelewengan oleh kerajaan BN yang telah mengakibatkan TH rugi RM17.8 bilion?

“Benarkah rakyat tidak kisah dengan akaun TH yang didakwa telah dimanipulasi sehingga menampakkan tiada sebarang defisit untuk tahun 2017?

“Benarkah rakyat tidak kisah dengan tuduhan YB Menteri bahawa akaun TH telah dipalsukan untuk menutup defisit RM4.1 bilion?," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mendakwa rakyat tidak resah dan tidak kisah isu TH.

Justeru, tiada keperluan bagi kerajaan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan salah laku dalam pengurusan TH.

Asyraf Wajdi turut mempersoalkan sejauh mana kebenaran rakyat tidak peduli dengan dakwaan bahawa defisit RM4.1 bilion yang dialami TH kerana dirompak atau dicuri oleh BN.

Artikel Berkaitan:

“Benarkah rakyat tidak kisah wang mereka berjumlah RM17.8 bilion digunakan untuk bail-out atau sebagai suntikan dana kepada TH sedangkan sejak puluhan tahun di bawah BN tidak pernah kerajaan terpaksa berbuat demikian?

“Benarkah rakyat tidak kisah dengan penjualan aset-aset strategik TH termasuk bernilai RM10 bilion kepada Syarikat SPV Urusharta Jemaah Sdn Bhd?

“Benarkah rakyat tidak kisah ke mana dibelanjakan baki keuntungan RM5.8 bilion hasil penjualan aset-aset berharga TH kepada Syarikat SPV Urusharta Jemaah Sdn Bhd?," katanya.

Asyraf Wajdi turut mempersoalkan, benarkah rakyat tidak kisah dengan kenyataan pelbagai kerugian pelaburan TH dikaitkan dengan penyelewengan dan pelbagai salah laku seperti TH Heavy Engineering, Putrajaya Perdana, FGV Holdings Bhd dan PT TH Indo Plantation di Riau.

“Benarkah rakyat tidak kisah apabila sukuk yang diterbitkan untuk mengumpul dana dengan penjualan aset-aset TH hakikatnya tidak dijamin kerajaan?

“Apakah jaminan bahawa aset-aset yang dijual oleh TH kepada Syarikat Urusharta Jamaah Sdn Bhd mampu ditebus pada nilai yang sepatutnya dan tidak merugikan pendeposit TH pada masa depan?," soalnya.