Kementerian letak KPI kepada semua syarikat telco

Gobind merasmikan Pejabat Pos Malaysia Batang Kali, di sini hari ini.
Gobind merasmikan Pejabat Pos Malaysia Batang Kali, di sini hari ini.
A
A
A

BATANG KALI - Kementerian Komunikasi dan Multimedia meletakkan sistem petunjuk prestasi utama (KPI) kepada semua syarikat telco di negara ini berkaitan tindakan menyelesaikan aduan pelanggan.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya menerima aduan berhubung masalah perkhidmatan jalur lebar terutama di kawasan luar dan pinggir bandar.

Menurutnya, usaha penambahbaikan perlu dilakukan termasuk mewujudkan satu sistem bagi menangani setiap aduan dan diselesaikan dalam masa ditetapkan.

"Kita melihat dari semua aspek dan kita ada menerima aduan yang datang dari perkhidmatan luar bandar, pinggir bandar dan kawasan bandar pun ada.

"Apa yang penting kita perlu tambah baik sistem menangani aduan yang dikemukakan. Bukan sekadar perkhidmatan murah dan laju, tapi kita perlu pastikan ada satu struktur bila ada aduan, ia dapat selesai dalam masa ditetapkan.

"Perkara ini yang diberi penekanan dan kita dalam proses melihat bagaimana syarikat telco boleh memastikan bahawa semua aduan ini diatasi dalam masa singkat. Kita letakkan KPI," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis mesra Aidilfitri dan perasmian Pejabat Pos Batang Kali yang baharu, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Pos Malaysia Berhad, Datuk Yasmin Mahmood.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, ADUN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong dan ADUN Batang Kali, Harumaini Omar.

Dalam pada itu Gobind berkata, kementeriannya berpuas hati dengan produk dan perkhidmatan yang disediakan Pos Malaysia Berhad selaku pemain industri pos, courier, logistik serta e-dagang di negara ini.

Menurutnya, Pos Malaysia mempunyai lebih kurang 8,000 penghantar surat yang komited menghantar dokumen dan bungkusan membabitkan kira-kira tiga juta alamat setiap hari.

Menurutnya, kejayaan tersebut didokong keupayaan logistik darat, udara dan air demi keselasaan serta kemudahan rakyat.

"Saya bersama para pegawai kementerian, ketua agensi kerajaan dan swasta sudah beberapa kali mengadakan lawatan dan menganjurkan program bersama Pos Malaysia.

"Saya berpuas hati dengan infrastruktur, produk serta perkhidmatan yang ditawarkan. Salah satu infrastruktur Pos Malaysia yang menarik perhatian saya adalah keupayaan Pusat Bungkusan Bersepadu (IPC) di Shah Alam.

"IPC merupakan pusat pemprosesan barang terbesar di negara ini dengan kapasiti lebih 500 item sehari dan berupaya memproses sehingga 700,000 item sehari terutama pada waktu puncak sepanjang Ramadan hingga Aidilfitri," katanya.