Pembantu kedai berdepan hukuman mati

Tertuduh, Wan Ahmad Zamil Hakim, dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana dituduh mengedar dadah jenis methamphetamine.
Tertuduh, Wan Ahmad Zamil Hakim, dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana dituduh mengedar dadah jenis methamphetamine.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Seorang pembantu kedai runcit dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mengedar dadah jenis methampetamine, pada 19 Jun lalu.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap Wan Ahmad Zamil Hakim Wan Zulkifli, 25, di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methampetamine yang dianggarkan seberat 154.30 gram di sebuah garaj rumah di Jalan Kubang Buyong, di sini, jam 12 tengah hari pada 19 Jun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 kali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Polis Terengganu melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah di daerah ini selepas menahan dua lelaki tempatan serta merampas dadah dianggarkan bernilai keseluruhan hampir RM100,000 dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Chabang Tiga dan Chendering, pada 19 dan 20 Jun lalu.

Selain menahan dua lelaki masing-masing berusia 25 dan 22 tahun serta merampas pil kuda, syabu dan kodein, polis turut menyita sebuah motosikal jenis Yamaha Ego bernilai RM3,000 dan wang tunai RM1,150.

Artikel Berkaitan:

Dalam tangkapan itu, tertuduh ditahan bersama tiga peket plastik cerah mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki syabu seberat 154.30 gram dianggarkan bernilai RM10,500 di dalam poket seluar.