Harap PAFA utamakan jualan tiket kepada penyokong

Sebahagian penyokong Perak beratur di hadapan kaunter tiket.
Sebahagian penyokong Perak beratur di hadapan kaunter tiket.
A
A
A

IPOH - Penyokong bola sepak Perak berharap agar Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) memberikan keutamaan penjualan tiket bagi menyaksikan final Shopee Piala FA 2019 kelak kepada mereka.

Setiausaha Seladang FC, Ahmad Razmi Kamaruddin berkata, perkara berkenaan perlu dilaksanakan dalam usaha menghargai sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan daripada penyokong selama ini.

Malah menurutnya, keutamaan ini akan membantu mengelakkan timbulnya masalah yang berulang saban tahun khususnya berhubung kegagalan penyokong mendapatkan tiket.

“Pertamanya, terima kasih kepada Presiden PAFA kerana prihatin lebih awal mengenai perkara ‘paling kritikal’ setiap kali menjelang perlawanan akhir iaitu penjualan tiket kepada penyokong.

“Bagi saya keutamaan tiket adalah kepada penyokong dan jualan dalam kuantiti paling besar wajib dibuat di Stadium Perak dengan keutamaan pembelian diberikan kepada kesemua pemilik Pas Semusim 2019, penyokong yang memiliki keratan tiket separuh akhir Piala FA baru-baru ini selain agihan tiket kepada kelab-kelab penyokong yang banyak membantu penjualan tiket kelab sepanjang musim dan penjualan sebahagian tiket ke daerah-daerah,” katanya.

Penyokong Perak beratur bagi mendapatkan tiket bagi satu aksi Unifi Liga Super 2019 lalu.
Penyokong Perak beratur bagi mendapatkan tiket bagi satu aksi Unifi Liga Super 2019 lalu.

Tambahnya, pemantauan jualan harga tiket ini juga boleh dilaksanakan oleh PAFA dengan kerjasama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang juga boleh membantu pembelian tiket atas talian.

Katanya, perkara ini juga dilihat dapat mengelakkan penipuan bagi pembelian tiket yang kemudiannya akan dijual semula dengan harga mahal kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

“PAFA juga perlu meneliti jualan secara pukal (bulk), khususnya kepada pihak yang menganjurkan ‘trip’ bagi menyaksikan aksi final Piala FA kali ini.

“Apapun, diharapkan agar ada ketelusan dalam agihan tiket kerana sudah seringkali isu tiket ini timbul setiap kali pasukan Perak beraksi pada perlawanan penting seperti final dan sebagainya," katanya.

Pendapat itu disokong oleh krew yob4ever.com, Ahmad Zaimy Mohd Yatim yang berharap agar agihan tiket ke daerah-daerah kelak tidak lagi dimonopoli individu tertentu.

Katanya, pemantauan yang telus perlu dibuat dan seterusya memastikan perkara sedemikian tidak berulang pada masa hadapan.

“Agihan tiket kepada semua daerah untuk badan-badan gabungan PAFA memang sangat diperlukan, namun pemantauan perlu dibuat agar tiket-tiket berkenaan tidak dimonopoli oleh individu tertentu sahaja.

“Seperti sebelum ini, bila kaunter baru sahaja dibuka tiket sudah pun habis dijual. Oleh itu, setiap individu perlu dihadkan hanya sebanyak empat keping tiket sahaja kecuali gabungan kelab penyokong berdaftar. Yang ini pun berdasarkan kuota, mungkin tidak lebih tujuh tiket sahaja,” katanya.

Penyokong Perak beratur bagi mendapatkan tiket bagi satu aksi Unifi Liga Super lalu.
Penyokong Perak beratur bagi mendapatkan tiket bagi satu aksi Unifi Liga Super lalu.

Sementara itu, Presiden Die Hard Fanz (DHF), Roslan Mat Baharom berkata, PAFA perlu memberikan kelebihan penjualan tiket di stadium untuk penyokong-penyokong Perak dengan keutamaan diberikan kepada penyokong terutamanya yang sentiasa hadir memberikan sokongan kepada pasukan walau dalam apa juga keadaan.

“Sebagai contoh, kelompok penyokong The Supporters yang telah menarik semua penyokong yang hadir ke stadium untuk menyanyi bersama-sama.

“Bagaimanapun, saya juga bersetuju dengan agihan tiket kepada badan-badan gabungan PAFA di daerah-daerah, tetapi ia perlulah dibuat mengikut kuota tertentu dan sekali lagi keutamaannya adalah kepada penyokong.

“Selain itu, semua penyokong bola sepak Perak diharap dapat bekerjasama dalam usaha membanteras kegiatan ‘ulat-ulat tiket’ kali ini,” katanya.