Lima cedera, kereta dinaiki rempuh treler

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Lima cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan treler di Kilometer 267.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan berhampiran susur keluar Bandar Ainsdale di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Abdul Kadir berkata, kesemua yang cedera ialah pemandu dan penumpang kereta, manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi.

“Treler tanpa muatan berkenaan yang dalam perjalanan dari Perlabuhan Klang menuju ke Senawang memperlahankan kenderaan ekoran terdapat kemalangan di hadapannya.

"Kemudian datang sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki berumur 22 tahun bersama empat penumpang dari arah sama melanggar bahagian belakang treler tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kemalangan menyebabkan tiga mangsa cedera parah manakala dua yang lain mengalami kecederaan ringan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Roszaidi Abdol Samad berkata, operasi mengeluarkan kesemua mangsa yang berumur 19 hingga 22 tahun itu mengambil masa lebih satu jam.

"Kita menerima panggilan pada jam 8.01 pagi dan seramai lapan anggota dikerah ke lokasi kejadian dan operasi itu turut dibantu lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Nilai.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk rawatan lanjut,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: