SSM laksana kaedah kurang kadar kompaun secara automatik

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) pada sidang media mengenai setahun beliau menerajui kementerian berkenaan di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melaksanakan kaedah pengurangan kadar kompaun secara automatik sebagai langkah memudahkan penyelesaian kompaun.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan yang dilaksanakan bermula semalam itu bertujuan memberi dorongan kepada komuniti korporat dalam mematuhi peruntukan Akta Syarikat 1965 dan Akta Syarikat 2016.

Menurutnya, kadar pengurangan mencecah 85 peratus dari nilai asal kompaun ditawarkan kepada komuniti korporat yang berjaya menjelaskan kompaun perniagaan mereka yang tertunggak.

"Peniaga berpeluang mendapat manfaat sepanjang 40 hari bermula dari tarikh kompaun dikeluarkan.

"Manakala tempoh pembayaran dari tarikh kompaun 41 hingga 60 har sebanyak 75 peratus, 61 hingga 90 hari sebanyak 60 peratus dan 91 hingga 180 hari sebanyak 30 peratus menikmati pengurangan dari nilai asal kompaun," katanya pada Sidang Media Setahun KPDNHEP di Putrajaya hari ini.

Saifuddin berkata, tawaran itu memberi kelebihan kepada komuniti korporat untuk menikmati kadar pengurangan kompaun yang lebih tinggi tanpa perlu mengemukakan rayuan pengurangan.

Jelasnya, SSM selaku pengawal selia korporat bertanggungjawab memastikan tahap pematuhan peruntukan Akta Syarikat yang tinggi dalam kalangan warga komuniti korporat di Malaysia memandangkan pengurusan tadbir urus korporat yang baik dapat menjamin kesinambungan operasi sesebuah syarikat.

"Kewajipan pematuhan ini bagi memastikan maklumat yang disimpan SSM adalah maklumat terkini dan boleh diakses pihak awam dan komuniti korporat bagi membantu pembuatan keputusan bagi pelbagai transaksi perniagaan yang dikendalikan oleh syarikat dalam negara," katanya.

Dalam pada itu, SSM turut menyarankan komuniti korporat di Malaysia mengambil peluang ini untuk menjelaskan kompaun bagi mengelakkan sebarang tindakan mahkamah.

"Selepas tindakan mahkamah diambil, tiada sebarang rayuan akan dilayan. Bayaran kompaun juga boleh dibuat di mana-mana kaunter Pejabat SSM di seluruh Malaysia," katanya.