Rakyat Malaysia guna alasan pelarian untuk kekal lama di Australia

Marzuki Yahya
Marzuki Yahya
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia menggunakan alasan sebagai pelarian untuk mendapatkan visa perlindungan kerajaan Australia untuk terus menetap lebih lama di negara itu.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya memberitahu Dewan Rakyat bahawa perkara itu menyebabkan kerajaan sukar untuk mengawal penghijrahan beramai-ramai rakyat Malaysia ke Australia.

“Untuk makluman Dewan yang mulia ini, ramai rakyat Malaysia membuat permohonan visa perlindungan sebagai salah satu cara untuk terus menetap lebih lama di Australia.

"Bagi tempoh Julai 2018 hingga April 2019, sebanyak 4,974 permohonan telah diterima oleh Australian Administrative Appeals Tribunal (AAT) daripada warga Malaysia," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ronald Kiandee (PH-Beluran) yang meminta menteri menyatakan faktor yang menyumbang kepada fenomena lebih 50 peratus permohonan visa status pelarian kepada Australia sepertimana didedahkan Administrative Appeals Tribunal (AAT).

Katanya, rakyat Malaysia juga mengunakan alasan menjadi mangsa dikriminasi kaum dan agama sebagai alasan untuk memohon visa perlindungan.

“Mereka mohon visa dengan pelbagai alasan antaranya tekanan keluarga, diskriminasi kaum, agama dan penderaan domestik,” katanya sambil memaklumkan sikap Imigresen Kerajaan Australia lebih terbuka dalam pemberian visa perlindungan selaras dengan Akta Migrasi 1958 Australia.

Marzuki berkata, selain gaji lumayan faktor kos permohonan visa yang rendah juga antara faktor menarik minat rakyat Malaysia untuk terus menetap di Australia.

Artikel Berkaitan:

“Kos perlindungan yang mudah, murah berharga serendah RM100 dan mereka boleh menetap selama 5 tahun.

“Sistem pendidikan bertaraf antarabangsa juga mendorang rakyat berhijrah dan menetap di Australia lebih panjang,” katanya

Katanya, hukuman lebih ringan dikenakan Australia kepada pesalah termasuk dihantar pulang ke negara asal dengan segala kos penerbangan ditanggung turut menarik minat rakyat Malaysia kekal di negara terbabit.