MOT teruskan siasatan pesawat ringan terhempas

Mohamad ketika ke lokasi hari ini.
A
A

JELEBU - Siasatan lanjut sebuah pesawat ringan jenis glider yang ditemui terhempas di kawasan Purun, Kuala Klawang disini Sabtu lalu diteruskan oleh Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, bagaimanapun pihak polis akan berikan bantuan yang diperlukan.

"Siasatan polis menjurus ke arah unsur-unsur jenayah jika ada. Setakat ini tiada terkesan apa-apa unsur jenayah.

"Keterangan mangsa belum dapat dirakamkan kerana keadaan kesihatan mereka tidak mengizinkan," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat ringan terhempas di Kuala Klawang

Terdahulu, media melaporkan sebuah pesawat ringan jenis glider dipercayai terhempas di kawasan Purun, Kuala Klawang di sini, kira -kira jam 3.30 petang Sabtu lalu namun tiada mangsa dikesan di lokasi.

Bagaimanapun, dua mangsa berjaya dikenal pasti iaitu merupakan lelaki warga Amerika Syarikat (AS) dan lelaki tempatan berusia 50-an.

Berdasarkan pengesahan polis juga, kedua-duanya dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban selepas dirujuk oleh Hospital Jelebu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia