Jangan takut, lapor jenayah kepada polis

Suffian (kiri) sedang memberi penerangan tentang kesedaran jenayah kepada salah seorang pengunjung KT Walk, Jalan Sultan Ismail, di sini, malam tadi.
Suffian (kiri) sedang memberi penerangan tentang kesedaran jenayah kepada salah seorang pengunjung KT Walk, Jalan Sultan Ismail, di sini, malam tadi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Komuniti setempat disarankan memberi kerjasama dan menyokong pihak polis dalam usaha membanteras sekali gus mengurangkan kadar jenayah di daerah ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, penurunan indeks jenayah bukanlah disebabkan komitmen anggota semata-mata, sebaliknya sokongan serta kesedaran masyarakat bagi memastikan matlamat itu direalisasikan.

Suffian berkata, usaha membanteras jenayah menjadi tanggungjawab dan kolaborasi semua peringkat termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

"Pelbagai platform boleh digunakan untuk mengeratkan hubungan antara polis dengan komuniti setempat dalam usaha mencegah jenayah sekali gus menjadi rakan kepada pihak polis menerusi pelbagai program komuniti kepolisan yang disusun sepanjang masa.

"Selain menghubungi balai terdekat, kita juga telah memperkenalkan 'Volunteer Smartphone Patrol '(VSP) kepada masyarakat, iaitu menyalurkan maklumat jenayah menerusi kaedah digital," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata sedemikian selepas Program Walk About dan Kempen Pencegahan Jenayah Sempena Musim Perayaan, Krismas dan Tahun Baru, di KT Walk, Jalan Sultan Ismail, di sini, malam semalam.

Turut hadir seramai 250 orang yang terdiri daripada masyarakat setempat di sekitar Kuala Terengganu, Pegawai Kanan dan anggota Polis serta Amanita dari Ibu Pejabat Polis daerah Kuala Terengganu yang memeriahkan program bermula seawal jam 8 hingga 9.30 malam.

Pada program berkenaan, Suffian bersama pegawai dan anggotanya mengedarkan pamplet dan risalah Bersama Memerangi Jenayah kepada pengunjung.

Artikel Berkaitan:

Jelas Suffian, dalam program itu, pihaknya turut menerangkan kaedah VSP kepada pengunjung dan peniaga mengenai cara mudah untuk menyalurkan maklumat jenayah kepada polis.

"Sekiranya masyarakat bertindak sebagai mata dan telinga kepada pihak polis sudah tentu kita mampu melakukan pencegahan di kawasan perumahan masing-masing," katanya.