Ketepikan perbedaan, kukuhkan parti - Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menyeru ahli parti untuk mengetepikan perbezaan sebaliknya memperkukuhkan kekuatan parti dengan kembalinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti.

Menurutnya, semua ahli UMNO perlu memikirkan bagaimana mahu memperkasakan dan mengangkat kembali maruah agama dan bangsa yang sekian hari dilanyak dan ditekan oleh pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Sama-sama kita beri sokongan kepada kepimpinan Ahmad Zahid bersama Datuk Seri Mohamad Hasan (timbalan presiden) serta naib-naib presiden, majlis tertinggi dan kepimpinan tertinggi sayap-sayap parti dalam membawa parti ke puncak kecemerlangan dan kejayaan.

“Jangan lagi kita hanya lantang dalam gelanggang sendiri tetapi menikus berdepan musuh sebenar. Jangan kita menjadi jentera musuh tanpa sedar untuk melaga-lagakan antara pemimpin kita yang sedikit pun tidak membantu kepada kekuatan parti.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid umum kembali bertugas

“Hentikan perbincangan terbuka berkaitan siapa yang layak untuk kerusi presiden dan sebagainya kerana kita telah bersuara pada pemilihan lepas. Beri ruang untuk mereka bekerja dan menjadi ketua kita agar gerak kerja mereka tidak direncatkan dengan tindakan tidak rasional kita sebagai ahli parti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Ismail yang juga Ketua Pembangkang berkata, ahli parti harus kenal musuh sebenar dan bukannya berada dalam perencanaan musuh sehingga parti terus bergolak dengan membincangkan hal-hal yang tidak perlu.

“Apa yang harus kita utamakan ialah kekuatan parti. Bukan perpecahan yang akhirnya melemahkan kita.

“Membincangkan pendapat dalam isu ini secara terbuka juga boleh membuka ruang yang agak besar kepada musuh yang sentiasa mahukan kita berpecah dan berbalah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sebuah kerajaan yang mendapat mandat dalam pilihanraya umum nanti merupakan sebuah kerajaan yang mengambil pengajaran daripada kegagalan kerajaan PH kali ini.

“Dan menambah baik dengan meletakkan keperluan kaum majoriti dan dalam masa yang sama tidak menafikan keperluan serta kehendak kaum minoriti atau permintaan kaum-kaum lain yang menepati perlembagaan termasuk perjanjian negara kita,” katanya.

Mengulas mengenai penyatuan ummah, Ismail Sabri berkata, ia merupakan satu agenda politik untuk semua kaum dan rakyat Malaysia.

“Buktinya apabila MCA dan MIC menerima penyatuan ini kerana mereka tidak merasakan satu ancaman apabila kita meletakkan asas Islam itu adil dan menjadi penghubung kepada pelbagai perbedaan fahaman dan amalan agama.

“Tidak pernah ada satu rujukan pun bahawa Islam menzalimi penganut lain malah bukti kerajaan Pas Kelantan amat jelas apabila rakan Cina dan India di Kelantan hidup harmoni dan menyokong kerajaan Islam Kelantan,” katanya.