Remy dipenjara empat tahun cubaan pecah kedai dobi

Tertuduh, Remy Izwan mengaku salah cuba mencuri dan memecah masuk dua buah kedai dobi layan diri di Kuala Nerus di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.
Tertuduh, Remy Izwan mengaku salah cuba mencuri dan memecah masuk dua buah kedai dobi layan diri di Kuala Nerus di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pramugara dijatuhi hukuman empat tahun penjara di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana cuba mencuri dan memecah masuk kedai di dua buah kedai dobi layan diri di Kuala Nerus.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, Remy Izwan Roseli, 39, dari Petaling Jaya, Selangor, mengaku salah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana cuba curi dalam bangunan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa bersama teman wanitanya, Aimi Shairai Ismail, 32, cuba mencuri di dalam kedai dobi di Blok D Rimba Square, Kuala Nerus, milik Mohd Juman Che Azani, 35, antara jam 4 pagi hingga 4.53 pagi, pada 7 Jun lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan serta Seksyen 34 kanun sama.

Tertuduh seterusnya dijatuhi hukuman dua tahun penjara selepas mengaku salah melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan itu.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa melakukan pecah kedai dobi di Dataran Tembesu, Kuala Nerus, milik Noor Hamilah Yahya, 47, dan mencuri wang lebih kurang RM1,000, antara jam 5.48 pagi hingga 7.20 pagi, hari yang sama.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Seterusnya, mahkamah menjatuhkan empat tahun penjara bagi kesalahan yang boleh dihukum penjara 14 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 10 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya,Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sementara itu, teman wanita tertuduh, Aimi Shairai dari Pasir Panjang, di sini masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Mahkamah seterusnya menetapkan 15 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan mengekalkan wang jaminan yang ditawarkan sebelum ini iaitu berjumlah RM6,000 bagi setiap pertuduhan.