Elak pilih muka lama tidak berikan sumbangan kepada Kafa

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) atau pihak terlibat pada pemilihan kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) pada Kongres Agung Luar Biasa (EGM) pada Sabtu ini digesa mengelakkan memilih muka lama yang tidak memberikan sumbangan kepada persatuan terbabit.

Bekas pemain kebangsaan dan Kelantan era-70an, Afandi Yusof berkata, tiada guna EGM itu diadakan sekiranya pihak terlibat pada pemilihan kali ini masih memilih muka lama yang sebelum ini tidak menyumbang kepada persatuan.

"Pilih dan lantik pemimpin tertinggi dan barisan exco yang boleh memberikan 100 peratus komitmen dan menjalankan tugas kepada Kafa.

"Elakkan memilih individu yang hanya mahukan jawatan untuk glamor dan mempunyai kepentingan peribadi tanpa melaksanakan tugas seperti diharapkan, " katanya di sini hari ini.

EGM yang bakal diadakan kali ini bagi melantik presiden dan exco baharu selepas peletakan jawatan presiden sebelum ini Bibi Ramjani Ilias Khan selain exco sedia ada dilihat gagal menyumbang kepada persatuan terbabit.

Sebelum ini, Kafa menerima empat pencalonan bagi jawatan presiden iaitu Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah; bekas presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dan ahli perniagaan Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz.

Sementara itu, bagi pencalonan timbalan presiden persatuan turut menerima empat nama iaitu Datuk Seri Afandi Hamzah, Datuk Rosmadi Ismail, Datuk Seri Mohd Zumridi Tambi dan Muhammad Yusri Ismail, manakala 29 pencalonan bagi jawatan exco.

Afandi berkata, pemilihan kali ini perlu memberi peluang kepada muka baharu untuk membawa perubahan kepada bola sepak Kelantan dan persatuan yang dilihat kian tenat. - Bernama

Artikel Berkaitan: