Sarjan didakwa minta rasuah ubah keputusan urin

Tertuduh (tengah) dikawal anggota SPRM keluar dari Mahkamah Sesyen selepas didakwa atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM2,000.
Tertuduh (tengah) dikawal anggota SPRM keluar dari Mahkamah Sesyen selepas didakwa atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM2,000.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang anggota polis berpangkat Sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan meminta dan menerima rasuah RM2,000 dua tahun lalu.

Pendakwaan terhadap tertuduh Mohamed Faruk Mohd Hairul Guah, 31, dibuat di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen Tuan Ruzuani Tuan Lah.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa meminta dan menerima rasuah RM2,000 daripada Norhayati Seman untuk mengubah keputusan ujian air kencing Mohd Ismadi Ismail yang positif methampemine di pejabat Penolong Pegawai Penyiasat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli pada 14 November 2017 dan 15 November 2017.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a) (B) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad 'Adha 'Amir Yasser Amri menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memohon dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Mohd Firdaus Zainal Abidin yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan kepada jumlah paling minimum dengan mengambil kira latar belakang anak guamnya.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Kes ditetapkan pada 21 Ogos depan untuk sebutan semula kes.