MPSJ serbu premis perniagaan warga asing

Penguatkuasa MPSJ menyita kedai yang dikesan beroperasi secara haram di Serdang Jaya 5 dan 6 hari ini.
A
A

SERDANG - Premis perniagaan warga asing antara yang diserbu oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam operasi bersepadu yang diadakan hari ini di Sedang Jaya 5 dan 6.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, sebanyak 14 premis diberikan notis tutup atas kesalahan perniagaan dijalankan oleh warga asing serta struktur tambahan didirikan tanpa kebenaran.

"MPSJ memberikan tempoh selama 30 hari kepada pemilik premis untuk pengosongan dan perobohan atau MPSJ yang akan merobohkan sendiri struktur berkenaan.

"MPSJ ambil langkah tegas untuk elak aktiviti perniagaan di kawasan rumah menjadi tidak terkawal. Apatah lagi aktiviti niaga itu dijalankan oleh warga asing seperti Acheh, Bangladesh yang memonopoli kawasan," katanya.

Zulkurnain (kiri) menyemak jumlah premis yang diarah tutup dalam operasi bersepadu di Serdang Jaya 5 dan 6 hari ini.
Zulkurnain (kiri) menyemak jumlah premis yang diarah tutup dalam operasi bersepadu di Serdang Jaya 5 dan 6 hari ini.

Katanya, penguatkuasaan diambil selepas menerima aduan awam mengenai kebanjiran warga asing di kawasan tersebut.

"Semua premis yang diserbu pada hari ini tidak beroperasi namun notis makluman dan sitaan kedai dilakukan.

"Tindakan lebih tegas akan diambil kepada pemilik premis yang masih berdegil menyewakan kedai untuk perniagaan oleh warga asing," katanya.

Turut hadir, Ahli Majlis MPSJ Zon 20, Mohan Singh yang memaklumkan menerima aduan berterusan akan kebanjiran warga asing di kawasan itu.

"MPSJ sebelum ini dah banyak kali beri amaran tapi masih ingkar. Pada hari ini MPSJ turun sekali lagi dan harap masalah ini dapat diselesaikan," katanya.

Zulkurnain (kiri) memeriksa sistem saliran tersumbat bersebelahan kedai makan diusahakan warga asing dalam operasi bersepadu di Serdang Jaya 5 dan 6 hari ini.
Zulkurnain (kiri) memeriksa sistem saliran tersumbat bersebelahan kedai makan diusahakan warga asing dalam operasi bersepadu di Serdang Jaya 5 dan 6 hari ini.

Dalam operasi sama, insiden seorang wanita dipercayai menghadapi masalah mental bertindak memarahi penguatkuasa selain merebahkan diri di sebuah kedai makan yang turut dikenakan tindakan.

Difahamkan, kedai atas tanah lapang dimiliki wanita berkenaan namun disewakan kepada warga asing untuk perniagaan sejak lima tahun lalu.

Situasi tersebut bagaimanapun berjaya dikawal tanpa sebarang provokasi atau pergaduhan.