Menteri nafi dakwaan ramai pemandu e-hailing gagal lesen PSV

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menafikan dakwaan Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA) kononnya kadar lulus peperiksaan Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing) terlalu rendah.

Menteri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (DAP- Seremban) berkata, dakwaan yang dikeluarkan oleh GDMA sebelum ini berhubung isu itu adalah tidak benar.

Katanya, bermula 1 April hingga 30 Jun 2019, sebanyak 16,338 calon telah menduduki ujian teori PSV (Teksi/E-hailing) di mana daripada jumlah tersebut sebanyak 10,151 telah lulus dan layak memohon lesen PSV.

“10151 lulus dan layak mohon PSV. Daripada jumlah tersebut, 62 peratus calon telah lulus ujian tersebut dan berjaya di lesenkan, kenyataan GDMA bertarikh 14 Mei yang dakwa 10-50 peratus lulus setiap kelas adalah tak tepat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang meminta kerajaan menyatakan apa langkah mitigasi yang telah diambil berikutan dakwaan Persatuan Grab Malaysia di mana hanya 10-50 peratus pemandu E-Hailing lulus ujian PSV.

Sebelum ini Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA) hairan apabila dimaklumkan kadar kegagalan lulus peperiksaan Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing) sangat tinggi sehingga memaksa pemandu mengeluarkan sejumlah wang untuk menduduki semula ujian berkenaan.

Presidennya, Arif Asyraf Ali, berkata walaupun GDMA tidak mempunyai jumlah sebenar pemandu e-hailing yang gagal dalam ujian PSV berkenaan namun secara kasarnya beliau mendakwa 10 hingga 50 peratus saja pemandu yang lulus dalam setiap kelas.

Dalam perkembangan sama, Loke berkata, kadar tambang yang dikenakan operator e-hailing (EHO) akan kekal kompetitif walaupun selepas pematuhan Lesen Vokasional PSV (Teksi/E-hailing) berkuatkuasa.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata peningkatan kadar tambang tidak akan berlaku kerana ia akan menyebabkan para pengguna tidak akan memilih perkhidmatan tersebut.

“Syarikat-syarikat EHO sudah tentu perlu menawarkan kadar tambang yang berpatutan dan kompetitif kepada penumpang-penumpang mereka. Jadi saya tidak melihat bahawa ia (kadar tambang) akan berubah secara mendadak.

“Ramai yang mengatakan apabila kita (MOT) buat peraturan ini, kadar tambang itu akan meningkat. Itu adalah anggaran (andaian) apa yang dikatakan, tetapi ia tidak menjadi kenyataan," katanya.

Pihaknya turut menjangkakan peningkatan dengan lebih mendadak jumlah penglibatan pemandu e-hailing menjelang 12 Julai 2019 selaras dengan pengenalan kursus secara digital yang telah dijalankan bermula 3 Jun 2019 di pusat latihan yang telah diluluskan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lesen PSV: Harga tambang tidak naik mendadak