Pendakwaan akan buktikan Tengku Adnan terima cek RM2 juta di DBKL

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kesnya, yang didakwa atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto Bernama
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kesnya, yang didakwa atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan menunjukkan keterangan bahawa cek RM2 juta diserahkan sendiri oleh ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu di pejabatnya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim yang membacakan penyataan pembukaan kes berkata keterangan akan menunjukkan Tengku Adnan yang merupakan tertuduh dalam kes ini telah mendapatkan untuk dirinya suatu barangan berharga iaitu wang RM2 juta tanpa balasan daripada Chai melalui cek Hong Leong Bank bernombor 136822 bertarikh 14 Jun 2016 milik Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd.

Cek itu telah didepositkan ke dalam akaun CIMB bernombor 80-0117974-7 milik Syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang mana tertuduh merupakan pemegang saham terbesar syarikat itu dan tertuduh juga mengetahui bahawa syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.

Julia berkata pendakwaan akan membuktikan bahawa pada 27 Jan 2015, Chai sebagai pengarah Syarikat Aset Kayamas telah menyerahkan surat "Cadangan Pembelian Tanah Untuk Tujuan Pembinaan Rumah Mampu Milik di Bawah harga RM200,000 dan Apartment Harga Bebas di atas Tanah Lot 53427 dan Lot 53653 seluas 4.05 hektar di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur” bertarikh 26 Jan 2015 kepada tertuduh secara kediri.

"Tertuduh telah memberi arahan kepada Datuk Zulkifli Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan melalui minit tertuduh iaitu "Ybhg Datuk Zul, sila teliti cadangan ini dan jika boleh dilaksanakan mengikut kaedah kongsi sama. Harap maklum balas, sila bincang dengan syarikat,” kata Julia pada hari pertama perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan. ​​​​​​

Beliau berkata keterangan akan menunjukkan bahawa permohonan pembelian tanah-tanah itu oleh Syarikat Aset Kayamas telah ditolak oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur melalui surat bertarikh 3 April 2015.

"Seterusnya, pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan menunjukkan bahawa Syarikat Aset Kayamas telah secara berterusan berurusan dengan YB Menteri Wilayah Persekutuan (tertuduh) terhadap penolakan itu dan lain-lain urusan berkaitan cadangan projek itu,” katanya.

Julia berkata keterangan akan dikemukakan untuk menunjukkan peranan aktif Tengku Adnan dalam projek tersebut seperti mempengerusikan Mesyuarat OSC Khas pada 14 Mei 2015 di mana mesyuarat itu bersetuju dengan cadangan pembangunan projek tersebut yang mengandungi kediaman rumah mampu milik, rumah harga bebas dan asrama DBKL di atas tapak seluas 0.5 ekar (0.2 hektar).

Artikel Berkaitan:

Katanya pendakwaan juga akan membuktikan tertuduh telah bersetuju dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk Penjualan Harta Tak Alih milik Datuk Bandar Kuala Lumpur iaitu Lot 53427 dan Lot 53653 di Bandar Tun Razak itu kepada Syarikat Aset Kayamas pada 27 Mei 2015.

“Tertuduh juga membenarkan rayuan Syarikat Aset Kayamas menangguhkan bayaran 10 peratus ke atas tanah berkaitan dan pengurangan penambahan harga jualan dari 20 peratus kepada 10 peratus,” katanya.

Julia berkata keterangan akan menunjukkan tertuduh mengetahui bahawa Syarikat Aset Kayamas milik Chai mempunyai urusan berterusan dengan DBKL dan tertuduh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Katanya pendakwaan akan membuktikan tertuduh meminta sumbangan daripada Chai dalam jumlah RM5 hingga RM6 juta bagi kegunaan pilihan raya kecil di mana Chai telah memberikan RM2 juta bagi maksud tersebut melalui sekeping cek Hong Leong Islamic Bank bernombor 136822 bertarikh 14 Jun 2016 milik Syarikat Aset Kayamas yang dibayar kepada syarikat Tadmansori dan cek RM2 juta itu diserahkan sendiri oleh Chai kepada tertuduh di pejabatnya di DBKL.

“Di dalam membuktikan kes terhadap tertuduh, pihak pendakwaan akan bergantung kepada keterangan langsung, keterangan ikut keadaan dan keterangan dokumen bagi menunjukkan bahawa kesalahan itu telah dilakukan tertuduh Tengku Adnan bin Tengku Mansor, pada tarikh, masa dan tempat sepertimana yang terkandung dalam pertuduhan,” katanya.

Pada 23 Jan lepas, Tengku Adnan mengekalkan pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini selepas pertuduhan dibacakan semula semasa sebutan kali pertama kes itu setelah kesnya dibenar dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Dis 2018.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Chai melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd‬ yang dia mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - Bernama