Pas, UMNO temui titik persamaan: Muhammad Khalil

Muhammad Khalil (empat, kanan) bersama barisan kepimpinan kedua-dua parti memotong kek sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Kuala Terengganu.
Muhammad Khalil (empat, kanan) bersama barisan kepimpinan kedua-dua parti memotong kek sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hubungan taawun (kerjasama) antara UMNO dan Pas telah menemui titik persamaan antaranya bersetuju menolak Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, jalinan hubungan yang masih di peringkat awal itu akan dilaksanakan sebaik mungkin dan tidak dilakukan secara tergesa-gesa.

"Ini hanya permulaan, kami tidak gopoh.Takkan bila berbaik terus duduk serumah. Apa yang penting titik persamaan antara Pas dan UMNO hari ini mengandungi tiga elemen penting iaitu perpaduan demi Islam dan menolak PH.

"Manakala, dalam dalam konteks pilihanraya pula, kita bersetuju untuk tidak berlaku pertembungan tiga penjuru," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu yang meminta supaya kerjasama antara UMNO dan Pas diterjemahkan menerusi pembahagian kerusi yang adil di empat buah negeri yang dipimpin dua parti itu iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang dan Perlis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masih terlalu awal untuk pihak lain menjustifikasi hubungan yang terjalin antara UMNO dan Pas.

"Sama ada UMNO bersama atau tidak dalam kerajaan Pas di Terengganu, titik persamaannya kami bersetuju untuk menolak PH," katanya.

Beliau berkata, kenyataan dikeluarkan itu menunjukkan PH amat bimbang degan kesepakatan yang terjalin.

Artikel Berkaitan:

"PH hari ini retak menanti belah. Setiap parti di dalamnya tidak mempunyai halatuju yang sama.

"Jawatan Perdana Menteri sebagai satu contoh, hatta dalam PKR sendiri pun tidak ada kesepakatan untuk menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM," katanya.

Terdahulu, Muhammad Khalil menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Kuala Terengganu yang diadakan di kediaman Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Turut hadir, ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed; Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Soud Said serta pimpinan daripada kedua-dua parti.