227 orang asli Bateq terima vaksin

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bersama Jabatan Kesihatan Kelantan mengadakan program suntikan vaksinasi kepada penduduk Orang Asli Pos Lebir yang melibatkan Kampung Kuala Koh, Kg Aring 5.
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bersama Jabatan Kesihatan Kelantan mengadakan program suntikan vaksinasi kepada penduduk Orang Asli Pos Lebir yang melibatkan Kampung Kuala Koh, Kg Aring 5.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Kelantan hari ini memulakan langkah pemberian vaksin kepada 227 orang asli Bateq di Kuala Koh, Gua Musang dalam usaha menyelamatkan suku kaum itu daripada terus terdedah dengan jangkitan termasuk wabak measles atau demam campak.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata, jumlah itu membabitkan 60 orang asli yang masih berada di Kampung Kuala Koh dan 167 orang di Felda Aring 5 selepas komumiti mereka diserang penyakit itu.

“Vaksi diberikan di penempatan mereka dan langkah itu masih lagi berterusan sehingga malam ini dan pihak jabatan akan mengumpulkan data setiap hari bagi memastikan kesemua orang asli Bateq menerima vaksin ini.

“Pada masa sama orang asli yang berada di Rumah Inap Komumiti Asli (RIKA), Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK) juga akan menerima suntikan,” katanya ketika dihubungi semalam.

 Dr Zaini Hussin
Dr Zaini Hussin

Menurutnya, jabatan itu menumpukan pemberian vaksin kepada komuniti orang asli Bateq Gua Musang terlebih dahulu sebelum diberikan kepada penduduk setempat.

“Kampung yang terlibat ini membabitkan orang asli Bateq tetapi ada juga masyakarat setempat yang berada di kawasan ini dan vaksin untuk mereka akan diberikan selepas selesai memberi vaksin kepada komuniti orang asli.

“Kami melakukan langkah ini secara berperingkat sehingga dapat dipastikan kesemua orang asli Bateq menerima vaksin termasuk kanak-kanak orang asli yang tinggal di Kuala Koh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Zaini berkata, jabatan menjangkakan zon merah kawasan perkampungan Kuala Koh yang menjadi lokasi penularan wabak campak dijangka akan diisytihar bebas dari penyakit dua minggu lagi.

“Kami akan terus memantau keaadaan orang asli dan wabak itu, tetapi kalau trend seperti sekarang yang menunjukkan pengurangan kes, Insyaallah dalam masa dua minggu kita akan kaji untuk dilepaskan daripada zon merah,” katanya.

Semalam, masyarakat orang asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di sini berharap status zon merah yang diisytiharkan terhadap perkampungan mereka segera berakhir.

Akhbar sebelum ini melaporkan 15 Orang Asli suku kaum Bateq yang maut akibat krisis kesihatan selamat dikebumikan bersama di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Koh, Pos Lebir.

Mereka ialah Meknab Tebu, 63; Jais Keladi, 55; Romi Hamdan, 29; Leha Hamdan, 26; Haika Rahim, 22; Poja Jong, 21; Farah Rahim, 20; Fayah Papan, 20; Safia Papan, 18; Din Hamdan, 18; Puspa Lie, 5; Nasri Rosli, 3; Mohd Saleh Khaizan, 1; Amir Lie, 1 dan Jelik Jong yang tidak dapat dikenal pasti usianya.