Surat terbuka mufti kepada PM, Menteri

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin. - Foto Rosli Talib
Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin. - Foto Rosli Talib
A
A
A

KEPADA YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Pendidikan

1. Krisis antara kaum nampaknya makin meroyak. Sejak zaman kerajaan yang lepas dan kini kerajaan baru, nampaknya, keharmonian hidup antara kaum di Malaysia menuju ke arah yang membimbangkan. Slogan 1Malaysia telah gagal dan kini kempen PH ke arah Malaysia Baharu yang penuh teloransi dan keharmonian antara rakyat juga tidak menjadi. Bahkan makin parah. Banyak luka-luka baru yang ditoreh. Emosi telah menguasai kewarasan. Pengalaman hubungan antara kaum yang tipis dan latar pendidikan yang terlalu berbeda, menjadi antara punca usaha ke arah memahami sejarah negara dan hati budi antara kaum gagal diterapkan.

2. Ketiadaan persamaan di sudut latar pendidikan dan pengalaman bersama semasa awal, menjadikan emosi permusuhan lebih cepat berkembang dibandingkan emosi persahabatan. Hal ini disebabkan ramai anak Malaysia sejak satu tempoh yang agak lama, melalui sistem pendidikan yang tidak membolehkan mereka bertemu pada titik pengalaman dan latar pengetahuan yang sama. Ini terutamanya apabila sejak tahun pertama di bangku sekolah mereka menerima pendidikan yang secara tabiatnya bersifat eksklusif untuk sesuatu bangsa atau agama. Maka, apabila seseorang anak Malaysia dalam sepanjang tempoh pendidikannya hanya dalam persekitaran Melayu-Islam, ataupun Cina ataupun India maka pastilah latar Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum, agama dan tradisi itu sukar dihayati. Apabila mereka menjadi pemimpin atau rakyat pada masa hadapan, kotak pemikiran mereka sangat terbatas kepada kelompok tertentu sahaja.

YAB, YB...Sekolah Kebangsaan hendaklah benar-benar bersifat Malaysia.

3. Dalam usaha mengukuhkan hubungan antara rakyat pelbagai kaum secara lestari, saya ingin mencadangkan agar semua rakyat Malaysia diwajibkan melalui sistem persekolahan yang sama sekurang-kurang daripada tahun 1 sehingga tahun 6 sekolah rendah. Dalam ertikata lain, semua anak Malaysia hendaklah melalui pendidikan sistem Sekolah Kebangsaan dari umur tujuh tahun sehingga ke umur dua belas tahun. Dalam tempoh inilah diharapkan mereka akan mempunyai latar pendidikan Malaysia yang sama dan pengalaman pergaulan antara kaum yang baik. Anak-anak bagaikan kain putih, di peringkat itu, tiada perkauman antara mereka. Ketika umur itu yang ada hanyalah kemanusiaan yang lahir dari fitrah keinsanan.

4. Untuk mencapai hasrat itu, Sekolah Kebangsaan hendaklah benar-benar bersifat Malaysia. Bermula dari isi kandungan pelajarannya sehingga kepada pendekatannya. Dalam erti kata lain, persekitaran sekolah itu membolehkan semua agama dan kaum belajar dengan selesa. Elemen keagamaan yang mengujudkan persekitaran yang tidak kondusif untuk pembelajaran kaum-kaum yang berbeza hendaklah dielakkan bagi perkara-perkara yang mempunyai kepentingan bersama.

5. Kita tidak boleh menafikan bahawa Sekolah Kebangsaan hari ini seakan hanya menjadi sekolah Melayu sahaja. Antara sebabnya, mungkin suasana banyak Sekolah Kebangsaan hari ini tersangat dominan Melayu-Islamnya yang kadang-kala menimbulkan kerisauan ibubapa yang berlainan agama untuk menghantar anak-anak mereka. Suasana ini hendaklah dibentuk lebih kondusif untuk semua.

Pendidikan agama, kaum

Artikel Berkaitan:

6. Di pihak masyarakat muslim khususnya, mungkin ada yang bertanya; habis bagaimana dengan pendidikan agama anak-anak kami?

Pendidikan Islam sebenarnya boleh diteruskan di Sekolah Kebangsaan. Namun, ia bukan di sebelah pagi atau di sesi yang membabitkan semua bangsa dan agama. Pendidikan Islam boleh dilaksanakan di sebelah petang atau di sesi yang khusus. Majlis-majlis Agama Islam Negeri-Negeri boleh mengeluarkan peruntukan untuk hal ini. Ini telah lama berlaku di Johor dan Selangor. Perlis juga pada tahun 2019 mula akan mengujudkan Sekolah Agama Petang Perlis yang dibiayai oleh MAIPs (Majlis Agama Islam Perlis). Di situ berperanannya Raja-Raja Melayu dalam menjaga urusan agama. Demikian wang zakat yang dikumpulkan oleh Negeri-negeri dapat digunakan untuk pendidikan Umat Islam di negara ini. Sementara Kementerian Pendidikan menyelaras dan memastikan pendekatan pengajaran yang sesuai. Dengan ini, mungkin Pendidikan Islam akan lebih baik dan berkesan tanpa mengganggu sifat Sekolah Kebangsaan yang merupakan domain untuk semua bangsa agama.

7. Saya berpendapat, jika bangsa dan agama selain Muslim ataupun Melayu ingin mengajar agama dan budaya tertentu khusus untuk agama dan bangsa mereka dengan mematuhi peraturan-peraturan Kementerian Pendidikan, juga dibenarkan pada sesi petang atau berasingan tanpa mengganggu sifat Sekolah Kebangsaan. Namun, seperti mana Pendidikan Islam tadi, pendidikan khusus ini hendaklah dibiayai oleh komuniti mereka sendiri.

8. Sekolah-sekolah Agama Islam atau jenis Kebangsaan Cina atau India untuk peringkat rendah yang wujud hari ini, jika mereka mahu masih boleh berfungsi untuk sesi petang tersebut setelah anak-anak ini menjadi menjalani pendidikan di Sekolah kebangsaan di sessi pagi. Kos tersebut akan ditanggung oleh komuniti masing-masing.

YAB, YB...Pendidikan selepas sekolah rendah

9. Setelah murid-murid ini tamat Sekolah Rendah Kebangsaan, mereka boleh memilih aliran sekolah yang mereka ingini. Hasrat mereka untuk ke bidang agama atau selainnya dapat diteruskan selepas itu. Namun, ketika itu mereka sudah dibekalkan dengan ilmu dan pengalaman yang bersifat Malaysia.

10. Bagi memastikan kesimbungan atau ilmu awal mereka tidak terputus, maka satu mata pelajaran yang membolehkan pelajar benar-benar memahami negara ini hendaklah diwajibkan. Ataupun Kementerian boleh memperkukuhkan mata pelajaran yang sedia seperti sejarah dengan pendekatan yang mantap dan relevan.

YAB, dan YB,

11. Saya mencadangkan hal ini demi menjaga masa depan Malaysia yang akan kita wariskan kepada anak cucu kita. Saya pohon semua pihak berkorban kepentingan mereka demi kelangsungan negara ini.

Saya mohon mencadangkan!

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Mufti Perlis