Elmina Valley Five kediaman pegangan bebas kini berada pada fasa terakhir

A
A
A
SIME Darby Property melancarkan sebuah lagi projek pembangunan kediaman menarik Elmina Valley Five yang kini berada pada fasa terakhir. Ia merupakan kediaman pegangan bebas terletak di Bandar Elmina, Subang, Selangor.

Bagi pelanggan yang mementingkan kualiti hidup pada sebuah lokasi yang luas di samping perbandaran yang dirancang dengan baik, Elmina Valley Five bersedia memenuhi keperluan tersebut.

Pembangunan kediaman itu telah dilancarkan pada 23 Mac 2019 dengan 1,282 unit rumah ditawarkan kepada pelanggan sebaik pembangunannya siap dijalankan.

Elmina Valley Five, merupakan kediaman dua tingkat berkeluasan 2,330 kaki persegi dengan harga jualan bermula dari RM816,199 selepas rebat jualan dan sebelum diskaun Bumiputera.

Permintaan

Pengurus Besar Hartanah Sime Darby, Appollo Leong berkata, kediaman Elmina Valley dibina berdasarkan kepada permintaan sejak pelancaran Elmina Valley 1 pada tahun 2016 yang telah dijual sepenuhnya.

"Ini diikuti dengan harga yang sangat baik untuk Elmina Valley 2, 3 dan 4 pada tahun-tahun berikutnya.

"Justeru, melihatkan permintaan yang diterima amat memberangsangkan, kami mengambil langkah setapak lagi dengan memperkenalkan Elmina Valley Five ke dalam barisan pembangunan kediaman di daerah Elmina Valley,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Jelasnya, Bandar Elmina terdiri daripada beberapa bandar termasuk Denai Alam, Bukit Subang, Elmina Timur dan Elmina Barat.
Artikel Berkaitan:


"Ciri reka bentuk utama di City of Elmina adalah Elmina Central Park yang popular, terletak di kawasan paling utama di Elmina Barat dan dihubungkan dengan rizab Hutan Tasik Subang seluas 1,080 hektar.

"Mereka yang mahu memiliki sebuah rumah pada fasa terakhir Bandar Elmina pada lokasi alam semula jadi menarik tidak akan melepaskan peluang untuk memiliki hartanah ini," katanya yang memberitahu Elmina Valley Five terletak bersebelahan kawasan hutan simpan.

Akses

Appollo berkata, Bandar Elmina ialah sebuah perbandaran yang terletak di barat laut Lembah Klang di dalam Negeri Selangor.

Dengan sambungan jalan raya yang lancar menghubungkannya ke kawasan bandar lain, perbandaran yang dibina sekitar 10 kilometer (km) dari Kota Damansara dan Sungai Buloh itu hanya berada hanya 12km dari Lapangan Terbang Subang dan 18km dari Petaling Jaya.

"Perbandaran ini juga berdekatan dengan bandar Lembah Klang dengan memiliki kesalinghubungan akses ke rangkaian lebuh raya utama antaranya Guthrie Corridor Expressway, NKVE, Lebuh Raya Persekutuan dan Lebuh Raya KL-Kuala Selangor," katanya.

Tambahnya, Lebuh Raya Damansara-Shah Alam juga dijangka siap pada awal tahun 2020 akan memendekkan lagi masa perjalanan dari Bandar Elmina ke Kuala Lumpur yang hanya memakan masa 20 minit.

Pembangunan 40 tahun

Bandar Elmina mempunyai rancangan pembangunan selama 40 tahun dan merupakan satu-satunya perbandaran bertemakan kesihatan di Lembah Klang, kata Apollo.

Tambahnya, ia dibina berdasarkan lapan tonggak kesejahteraan iaitu komuniti, alam sekitar, intelektual, keluarga, pekerjaan, fizikal, emosi dan kesihatan mental.

"Malah perbandaran ini dijangka menjadi pusat komersial serantau di koridor utara Shah Alam yang sentiasa berkembang. Oleh itu, Bandar Elmina pasti akan menjadi lokasi tumpuan ramai.

"Penduduk dan pelabur juga dapat melihat peluang komersial dan peluang perniagaan di bandar tidak lama lagi, kerana 80 unit pejabat komersial akan diaktifkan di Elmina Timur tahun ini," katanya menerusi kenyataan.

Fasa terakhir

Elmina Valley Five adalah kediaman fasa terakhir di kawasan Elmina Valley yang terletak pada kedudukan strategik.

Elmina Valley Five terdiri daripada 373 unit rumah pautan dua tingkat yang memiliki rekaan unik dengan saiz keluasan 2,330 hingga 3,541 meter persegi.

"Kediaman di Bandar Elmina dilengkapi penebat bumbung batu untuk mengawal selia suhu dalaman, pintu gelangsar poket untuk pengoptimuman ruang bagi kemudahan orang kurang upaya, lantai kayu yang berkualiti untuk kesesuaian tambahan dan sistem penggera rumah asas.

"Elmina Valley Five turut menyediakan kemudahan FittingsPlus+, paip pendingin hawa, pemanas air, pam penaik dan penapis air luaran. Kelengkapan tambahan ini pada asasnya mengurangkan kerumitan dan kos kepada pemilik rumah ketika mereka mendiamI kediaman ini.

"Malah kemudahan ini juga menyumbang kepada penjimatan dan kemudahan yang sangat baik untuk pemilik," katanya.

Kediaman, Elmina Valley Five mempunyai kawasan terbina yang besar dengan susun atur pelan terbuka yang membolehkan penggunaan ruang dalaman lebih efisien.

"Kediaman ini direka dengan tingkap besar untuk mendapatkan sumber pencahayaan semula jadi. Ciri-ciri lain termasuk penebat bumbung batu, lantai kayu berkualiti dan sistem penggera terbina," katanya yang memberitahu pembangunan itu terletak dalam kawasan kejiranan yang selamat.