Moorthy jangan berdiam diri...

 Muhammad Faiz Na'aman
Muhammad Faiz Na'aman
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy wajar meletakkan jawatannya sebagai menteri berdasarkan beberapa sebab.

Ketua Biro Intergriti Armada, Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, antaranya berhubung kenyataan fitnahnya terhadap Malaysia, dalam satu wawancara di Belanda.

Katanya, sehingga kini tiada permohonan maaf secara terbuka Moorthy berhubung perkara itu.

"Beliau juga telah menyalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu sidang media yang turut dihadiri beberapa pemimpin kerajaan pusat berbangsa India kononnya PDRM lambat bertindak dan seolah-olah sengaja membiarkan serangan terhadap kuil haram di Seafield pada awal pagi 27 November 2018," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, kenyataan tidak cerdik itu didakwa memparahkan lagi keadaan apabila kemarahan penganut Hindu mencapai kemuncak pada malam tarikh yang sama di mana rusuhan telah berlaku hingga merosakkan kenderaan bomba dan menyebabkan seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim cedera parah dibelasah perusuh.

"Anggota bomba yang malang tersebut akhirnya meninggal dunia di IJN setelah 20 hari bertarung nyawa," katanya.

Katanya, Moorthy juga telah mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan arahan mahkamah apabila beliau berkata, beliau mahu berunding dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai status kuil tersebut dengan harapan kedudukan kuil itu dapat dikekalkan tanpa perlu patuh kepada keputusan mahkamah supaya kuil tersebut dipindahkan kerana ia berada dalam tanah pihak swasta.

"Perdana Menteri walaubagaimanapun menjawab, kerajaan pusat tiada hak untuk mencampuri urusan (tanah) kerajaan negeri dan arahan mahkamah yang telah dikeluarkan," katanya.

Artikel Berkaitan: