'Malaysia tak cari 'tiket percuma' beraksi di Piala Dunia'

Datuk Hamidin Mohd Amin
Datuk Hamidin Mohd Amin
A
A
A

MALAYSIA tidak mencari 'tiket percuma' beraksi di Piala Dunia menerusi cadangan untuk negara-negara ASEAN membida bersama penganjuran Piala Dunia FIFA 2034.

Perkara ini ditegaskan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, kerana menurutnya untuk membida bukan satu perkara yang mudah memandangkan keperluan dan syarat ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai hos adalah tinggi.

"Idea itu (bida sebagai hos bersama) bagus tapi ia bukan hendak cari jalan mudah untuk layak ke Piala Dunia. Tapi mungkin ada netizen beranggapan FAM ini, tidak boleh masuk (Piala Dunia) secara merit, cuba hendak masuk menerusi cara menjadi hos.

"Kalau dengan cara ini, saya sendiri pun tidak teruja (untuk bida). Idea daripada (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad itu bagus. Cadangan itu bagus untuk ekonomi dan ASEAN," katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri FAM di Wisma FAM, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hamidin berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyokong penuh usaha FAM bersama-sama kerajaan untuk membida Piala Dunia 2034.

Katanya, sokongan itu disampaikan ketika Hamidin menghadap Sultan Abdullah di Istana Negara, Jumaat lau.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok, 23 Jun lepas, Pengerusi ASEAN Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata kesemua 10 negara anggota ASEAN bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.

Dr Mahathir pada sidang kemuncak itu juga, dipetik sebagai berkata usaha tersebut mampu direalisasikan selepas lima negara ASEAN membangkitkan idea berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata keputusan negara anggota ASEAN untuk membangunkan usaha tersebut mampu memberi laluan kepada rantau ini sebagai penganjur kejohanan sukan terbesar di dunia itu.- Bernama