2,000 penduduk terjejas angkara pembakaran terbuka

Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran di atas tanah seluas suku ekar di Batu Lesung, Alor Gajah.
Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran di atas tanah seluas suku ekar di Batu Lesung, Alor Gajah.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kira-kira 2,000 penduduk di tiga taman perumahan di Batu Lesung di sini mendakwa terjejas akibat pembakaran terbuka yang berlaku sejak tiga minggu lepas.

Penduduk, Mohd Zaini Abdul Khalib berkata, pembakaran terbuka itu telah mengakibatkan pencemaran udara hingga mengganggu kesihatan penduduk khususnya kanak-kanak dan warga emas.

Menurutnya, pembakaran terbuka di lokasi tapak pelupusan sampah haram itu terletak di kawasan terpencil dan dipercayai dijadikan tempat pelupusan sisa barangan industri sekitar kawasan terbabit.

"Sejak beberapa minggu lalu penduduk terpaksa menghidu asap kebakaran yang tebal. Punca asap yang merebak itu akhirnya dapat dijejaki penduduk menggunakan dron.

"Masalah ini membimbangkan penduduk kerana hampir tiga minggu ia berlarutan dan kami begitu sengsara, terpaksa hidu bau asap yang busuk terutama pada waktu malam," katanya di sini hari ini.

Mohd Zaini berkata, keadaan lebih teruk pada waktu malam dengan cuaca agak berjerebu disebabkan angin.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) Machap Jaya, Badrolhisham Omar berkata, rentetan daripada isu yang berlarutan itu, pihaknya terus menjejaki punca permasalahan berkenaan bersama penduduk terlibat malah perkara berkenaan membuatkan ramai penduduk menghadapi masalah pernafasan termasuk sakit tekak, sakit dada dan pedih mata.

Menurutnya, pembakaran terbuka berlaku di pintu masuk berdekatan jirat Cina di Lesong Batu dan ia telah berjaya dipadamkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dengan kekuatan enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Ramli Yusof.

Artikel Berkaitan:

"Difahamkan kebakaran berlaku di kawasan seluas hampir suku ekar.

"Saya harap pihak berwajib dapat menjejaki punca kebakaran dan menyelesaikan isu pencemaran ini dengan segera disebabkan ramai penduduk mengalami masalah kesihatan termasuk beberapa murid terjejas akibat perkara tidak bermoral ini," katanya.

Difahamkan Jabatan Alam Sekitar negeri telah mengeluarkan tindakan Kompaun di bawah Seksyen 29A ke atas pemilik tanah dan Notis Arahan di bawah Sek 31 & 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS), 1974 bagi memastikan aktiviti pembakaran tidak berulang.