Kaedah subsidi petrol bersasar ditentukan sebaik dibentangkan di Kabinet

Saifuddin Nasution (tengah) menjawab soalan pemberita ketika hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri Raffcomm Sdn Bhd di salah sebuah hotel di sini hari ini
Saifuddin Nasution (tengah) menjawab soalan pemberita ketika hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri Raffcomm Sdn Bhd di salah sebuah hotel di sini hari ini
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menentukan sistem pemberian subsidi petrol bersasar sebaik kertas cadangan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kertas cadangan bersama KPDNHEP dan Kementerian Kewangan (MOF) kini dalam proses akhir untuk disiapkan.

"Kami (KPDNHEP dan MOF) akan bentang pada mesyuarat jemah menteri dalam masa terdekat dan dari situ akan ada beberapa perbincangan, syor, penambahbaikan dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Optimis laksana sistem subsidi petrol bersasar tahun ini

"Apabila ia telah dipersetujui oleh jemaah menteri, saya akan buat pengumuman dalam masa terdekat," katanya pada sidang media ketika menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Raffcomm Group dan Majlis Pelancaran Pesanku.com di salah sebuah hotel di sini hari ini.

Ditanya sama ada sistem bayaran langsung atau kad subsidi termasuk dalam kertas cadangan itu, Saifuddin menjelaskan, kedua-dua formula itu akan dibentang untuk mendapatkan keputusan terbaik.

"Kita akan bentangkan semua pilihan yang ada dan seterusnya ia akan ditentukan selepas semua penilaian dilakukan," katanya.

Pada April lalu, Saifuddin memberitahu Parlimen bahawa Putrajaya sedang memutuskan antara dua kaedah bagi melaksanakan subsidi petrol.

Artikel Berkaitan:

Dua kaedah itu adalah sistem pembayaran langsung dan kad subsidi.

Saifuddin juga berkata, kerajaan sedang membina pangkalan data khas untuk pelaksanaan subsidi itu, berbeza dari yang digunakan untuk program Bantuan Sara Hidup (BSH).