Cari dalang bakar sampah: Amirudin

Amirudin
Amirudin
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Kerajaan Selangor sedang mengenal pasti pihak tidak bertanggungjawab yang menyebabkan kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Jalan Sungai Saim Kampung Rantau Panjang di sini Khamis lalu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata pihaknya percaya kebakaran yang memusnahkan kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar dilakukan penceroboh di kawasan hutan itu.

Menurutnya, pihak bomba masih berada di lokasi menjalankan kerja pemadaman api sepenuhnya.

“Kita dalam proses mengenal pasti pihak terlibat selain melihat sekiranya terdapat penglibatan orang asing yang meneroka kawasan tanah gambut itu.

“Api sukar dipadamkan kerana kawasan ini merupakan tanah gambut yang menyebabkan ia cepat merebak, selain faktor cuaca agak panas menyukarkan proses pemadaman sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Jalinan Kasih Parlimen Klang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang hari ini.

Amirudin berkata, pihaknya kini masih menunggu laporan penuh berhubung kebakaran itu yang dijangka diperoleh dalam masa terdekat daripada jawatankuasa bencana di peringkat negeri.

“Maklumat pemilik tanah akan diperoleh menerusi laporan itu namun maklumat awal mendapati terdapat ramai pemilik, kita akan menyiasatnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat masih meneruskan kerja pemadaman api yang masuk hari kelima hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bonny Martin berkata, kerja-kerja sudah memasuki peringkat akhir sebelum dijangka selesai sepenuhnya.

Menurutnya, pihaknya akan terus melakukan pemantauan hingga esok bagi memastikan kebakaran di kawasan tapak pelupusan sampah haram itu dipadamkan sepenuhnya berikutan ia melibatkan timbunan sampah yang sangat dalam.

“Hari ini kerja pemadaman masih diteruskan kerana terdapat sisa sampah bercampur tanah yang masih terbakar. Operasi akan ditamatkan selepas kebakaran dipadamkan sepenuhnya,” katanya.