Sidang DUN: Pembangkang kecewa usul tergempar ditolak

Hasni (duduk, tengah) pada sidang media di lobi Bangunan Sultan Ismail.
Hasni (duduk, tengah) pada sidang media di lobi Bangunan Sultan Ismail.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Barisan pembangkang negeri ini kecewa selepas usul tergempar yang dikemukakan enggan dibahas semasa persidangan DUN Johor ke-14 hari ini.

Ketuanya, Datuk Ir Hasni Mohamed berkata, usul tersebut adalah berkaitan dengan soalan lisan yang dibawa seorang Ahli Parlimen Johor di Dewan Rakyat.

Menurutnya, soalan Ahli Parlimen Labis itu adalah berkenaan nombor pendaftaran dua kenderaan iaitu TMJ dan RZ sama ada telah didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dianggap menghina institusi diraja Johor.

"Usul tergempar ini dianggap sebagai usul khusus dan Dewan juga bersetuju bahawa usul ini adalah untuk kepentingan ramai.

"Tetapi Dewan berpendapat usul ini tidak perlu disegerakan, maka, kami di pihak pembangkang merasakan bahawa kita perlu mengambil persoalan yang berbangkit ini secara lebih serius.

"Sukar bagi kami untuk menerima jika usul ini dianggap tidak perlu disegerakan. Apa sahaja perkara yang melibatkan institusi Diraja, saya tidak mencari alasan mengapa perlu ditangguhkan," katanya pada sidang media hari ini.

Hasni menunjukkan buku peraturan-peraturan dan perintah-perintah tetap bagi Dewan Negeri Johor.
Hasni menunjukkan buku peraturan-peraturan dan perintah-perintah tetap bagi Dewan Negeri Johor.

Terdahulu, Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat menolak usul tergempar yang dibawa Hasni atas alasan usul tersebut tidak perlu disegerakan dan akan dijawab oleh exco semasa sesi penggulungan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun menurut Hasni, usul tergempar bukannya soalan yang boleh dijawab begitu sahaja, sebaliknya perlu dibahas terlebih dahulu dan keputusan akan dibuat selepas pembentangannya.

"Nak jawab bagaimana, bukannya ada soalan berbangkit. Saya pelik bagaimana soalan itu boleh dijawab oleh exco, sebab tiada soalan berbangkit.

"Usul ini tidak boleh dijawab begitu sahaja, ia perlu dibahas terlebih dahulu dan dalam pembentangan akan diberi keputusan sama ada secara undi... bukannya untuk dijawab," katanya.

Berikutan itu, beliau menuntut penjelasan daripada persidangan dewan negeri berhubung isu berkenaan.