Kilang sebabkan pencemaran bau diarah tutup dua minggu

Loy Sian pada sidang media, di sini hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Kilang memproses minyak sawit yang dikesan menjadi punca pencemaran bau di Sungai Semenyih, Rabu lalu diarah henti operasi selama dua minggu.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian, sampel air untuk ujian kimia daripada kilang tersebut sudah diambil, keputusan dijangka diketahui dalam tempoh seminggu.

Menurutnya, pemiliknya berdepan denda maksimum sehingga RM100, 000 atau penjara lima tahun di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 2009 jika disabit kesalahan.

"Siasatan awal mendapati terdapat kebocoran pada sistem saliran, bukan disebabkan kurang penguatkuasaan.

"Kilang ini sudah 30 tahun beroperasi dan sebelum ini tiada sebarang masalah dikesan," katanya selepas program Kempen Bebas Straw Plastik, di sini hari ini.

Katanya, beliau telah meminta pemantauan dan pengutkuasaan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya perkara sama tidak berulang.

Dalam masa sama katanya, kerajaan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan syarat lesen operasi kilang

"Kilang hanya dibenarkan beroperasi di kawasan industri, mereka yang masih beroperasi atas tanah pertanian diberikan notis untuk berpindah atau tukar syarat tanah.

"Operasi kilang juga tidak boleh berhampiran sungai. Tiada kompromi dan tindakan tegas akan diambil kepada pengusaha kilang yang gagal mematuhi larangan itu," katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, pencemaran bau dikesan berlaku di Sungai Semenyih yang mengakibatkan bekalan air bersih di sekitar Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih diarah henti tugas.

Susulan itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesahkan pencemaran bau itu dikesan berpunca daripada sebuah kilang berhampiran dan tindakan pengambilan sampel dilakukan untuk ujian kimia.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia