Pekerja kilang nafi cederakan anggota trafik

Zulhilmi mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan
Zulhilmi mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam terhadap lima pertuduhan termasuk mencederakan dua anggota polis trafik dan menghalang pegawai polis dalam satu sekatan jalan raya, minggu lalu.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Zulhilmi Mohd Ariffin didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Koperal Hasnol Abd Ghani dan Koperal Ahmad Haizaki Salimon dengan memandu kereta Proton Gen 2 untuk melarikan diri daripada sekatan jalan raya oleh pihak polis.

Dia juga mengaku tidak bersalah dengan sengaja menghalang seorang Inspektor polis yang dalam menjalankan tugas melakukan pemeriksaan ke atasnya dengan melarikan diri daripada sekatan tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Jalan Persiaran Selangor, Seksyen 15, jam 10.30 pagi, pada 24 Jun lalu.

Zulhilmi, 22, juga mengaku tidak bersalah gagal mengemukakan kad pengenalan di Bulatan Andalas, Seksyen 17, dekat sini pada masa dan tarikh yang sama.

Lelaki itu turut mengaku tidak bersalah memasukkan dadah jenis methamphetamine dan THC ke dalam tubuh badannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam jam 5.15 petang pada hari sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Aisamuddin Abdul Rahman mencadangkan jaminan RM29,000 bagi semua pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun peguam Muhammad Zufa Elias yang mewakili Zulhilmi memohon jaminan yang rendah atas faktor kewangan.

Majistret Rini Triany Muhamad Ali membenarkan jaminan RM13,000 dengan seorang penjamin.

Sebagai syarat tambahan, lelaki itu diperintah melaporkan diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan.

Mahkamah menetapkan 31 Julai depan untuk sebutan semula kes.