Ada umat Islam Johor amal fahaman liberalisme, dedah Exco

Tosrin pada sidang media sempena persidangan Dewan Negeri Johor di Kota Iskandar hari ini.
Tosrin pada sidang media sempena persidangan Dewan Negeri Johor di Kota Iskandar hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kira-kira 10 peratus umat Islam di Johor yang berusia antara 40 hingga 50 tahun ke atas mengamalkan fahaman liberalisme.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, walaupun fahaman liberalisme di negeri ini masih terkawal, kerajaan negeri tetap memandang serius perkara tersebut.

Menurutnya, bahagian penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) sedang meneliti perkara itu pada peringkat akhir.

"Ia daripada rumusan yang didapati menerusi anggaran-anggaran kes siasatan dalaman melalui pasukan khas yang ditubuhkan oleh JAIJ.

"Task force berkenaan bertujuan membanteras fahaman yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah termasuklah fahaman liberalisme," katanya.

Tosrin (PH-Bukit Permai) berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang) dan soalan tambahan Datuk Ir Hasni Mohamad (BN-Benut) tentang perkembangan fahaman liberalisme di Johor semasa persidangan Dewan Negeri Johor ke-14 di Kota Iskandar hari ini.

Tosrin berkata, hasil siasatan pasukan khas yang ditubuhkan sejak awal tahun ini mendapati rata-rata mereka yang mengamalkan fahaman itu terdiri daripada mereka yang berumur 40 hingga 50 tahun membabitkan golongan cerdik pandai termasuklah pensyarah dan jurutera.

"Apa yang menjadi perhatian oleh pasukan khas ini termasuklah mengekang fahaman ini supaya tidak terdedah kepada golongan muda khususnya pelajar dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang didapati mengamalkan fahaman itu akan dipanggil untuk diberikan kaunseling," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri turut mempertingkatkan usaha mempertahankan akidah rakyat dengan mempergiatkan risikan dan pemantauan berterusan terhadap laman sosial seperti Instagram, Facebook, WhatsApp dan Skype bagi membendung penularan fahaman itu.

"Selain itu, buku-buku berkaitan bahaya liberalisme dan pluralisme agama terhadap akidah turut diterbitkan serta menyebarkan isu berkenaan menerusi khutbah Jumaat.

"Kerjasama dengan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dilaksanakan bagi memantapkan risikan dan penyaluran maklumat," katanya.

Beliau berkata, JAIJ turut bekerjasama dengan Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia bagi memberi kefahaman kepada masyarakat tentang ajaran Islam sebenar.