'Arwah tak boleh dengar orang kampung mengidam...'

Orang ramai hadir menziarahi mangsa sebaik sahaja dimaklumkan tentang kejadian. Gambar kecil: Shukor
Orang ramai hadir menziarahi mangsa sebaik sahaja dimaklumkan tentang kejadian. Gambar kecil: Shukor
A
A
A

SUNGAI PETANI - "Arwah seorang yang pemurah, dia tak boleh dengar ahli keluarga atau orang kampung mengidam ayam hutan, burung atau pelanduk, mesti dia pi cari," demikian kata rakan kepada Shukor Awang, 59, yang maut disyaki tertembak diri sendiri dalam kejadian di Kampung Perlis Simpor, Tikam Batu petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, mangsa dipercayai sedang membersihkan senapang miliknya.

Muhammad Ridzuan Osman, 32, berkata, dia rapat dengan Shukor kerana sebelum ini, arwah bapanya juga antara rakan rapat Allahyarham yang sering keluar memburu bersama.

"Orang kampung semua tahu, arwah dengan senapang tidak dapat dipisahkan," katanya.

Menurutnya, dia percaya tembakan dilepaskan secara tidak sengaja ketika Allahyarham sedang mengosongkan peluru dalam senapangnya.

"Dia tengah nak buang peluru tu, secara automatik mungkin terkena picu menyebabkan tembakan dilepaskan secara tidak sengaja.

"Sebab saya tau dia memang jaga sangat senapang tu. Kalau bab-bab senjata ni dia memang arif, boleh dikatakan selalu dia akan periksa," katanya.

Muhammad Ridzuan berkata, semasa kejadian, dia berada di Tanah Perkuburan Kampung Berapit menziarahi jenazah lain, namun terkejut apabila dimaklumkan insiden yang menimpa rakannya itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya cepat-cepat ke rumah arwah nak tengok apa yang berlaku dan tak sangka benda ni nak jadi sebab saya tau, arwah memang pandai menguruskan senjata," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan memeluk senapang yang mana laras senjata itu menghala ke arah dagunya.

Menurutnya, berdasarkan kedudukan mayat dan kecederaan, dipercayai mangsa sedang memegang senjata dalam keadaan duduk di kerusi plastik.

"Hasil siasatan mendapati mangsa tertembak di bahagian bawah dagu sebelah kiri," katanya.

Adzli berkata, mangsa merupakan pemegang lesen senjata api sejak 1994 yang digunakan untuk mencegah musuh tanaman.

"Siasatan forensik di tempat kejadian mendapati senjata api digunakan adalah jenis Benneli. Terdapat tiga kelongsong peluru, di luar senjata ada dua kelongsong, satu hidup dan satu kosong manakala dalam chamber terdapat satu kelongsong hidup.

"Kesan tembakan bermula di bahagian sisi dagu kiri dan tidak tembus," katanya.

Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.