Dilarang sewa dewan gara-gara ada 'Bossku'

Sham (hadapan, empat kiri) teruja menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri bersama barisan kepimpinan UMNO bahagian Bagan Serai hari ini.
Sham (hadapan, empat kiri) teruja menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri bersama barisan kepimpinan UMNO bahagian Bagan Serai hari ini.
A
A
A

BAGAN SERAI - UMNO Bahagian Bagan Serai kesal dengan keputusan sebuah resort terkenal yang tidak membenarkan parti itu menyewa dewan untuk mengadakan program mesyuarat agung parti pada 13 dan 14 Julai ini.

Lebih mengejutkan, keputusan itu dibuat gara-gara UMNO bahagian itu menjemput bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang popular dengan panggilan 'Bossku' bagi merasmikan program parti itu kelak.

Ketua UMNO bahagian, Datuk Sham Mat Sahat berkata, keputusan itu dianggap tidak profesional oleh sebuah syarikat perniagaan berasaskan keuntungan dan pihaknya kecewa pihak pengurusan tersebut bertindak membatalkan tempahan dewan dibuat lebih awal atas sentimen peribadi.

Menurutnya, tindakan sebegini seolah-olah memberi tekanan tambahan kepada UMNO untuk gagal melaksanakan sebarang program wajib parti susulan arahan pekeliling Kerajaan Perak tidak membenarkan program parti dilaksanakan di kemudahan awam sebelum ini.

"Terdahulu, saya bersama beberapa pemimpin bahagian berbincang dengan pengurusan resort itu untuk menempah dewan bagi kegunaan mesyuarat agung parti pada 13 dan 14 Julai hadapan.

"Pada mulanya mereka bersetuju dan memberi jaminan tiada masalah akan timbul, namun apabila kami hendak membayar deposit tempahan, wakil pengurusan resort itu kemudiannya memaklumkan tempahan dewan tidak boleh dibuat atas sebab kehadiran Datuk Seri Najib.

Sham
Sham

"Kami tidak tahu apa masalah resort dengan Datuk Seri Najib, namun kami kecewa apabila sebuah syarikat berasaskan keuntungan menunjukkan sikap tidak profesional dalam isu ini," katanya kepada media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Bagan Serai di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sham berkata, susulan keputusan itu, pihaknya memutuskan menyewa kemudahan dewan alternatif di Kem Pusat Khidmat Latihan Negara (PLKN) Jiwa Murni Gunong Semanggol yang kini menjadi premis persendirian susulan program PLKN tidak lagi teruskan.

Menurutnya, UMNO Bahagian Bagan Serai bimbang senario sentimen kepartian membabitkan syarikat swasta akan berterusan terhadap parti itu hanya gara-gara mereka mempunyai kepentingan terhadap Kerajaan PH kini.

"Ingin saya ingatkan, resort tersebut sebelum ini banyak menerima manfaat daripada Kerajaan BN termasuk sewaktu pentadbiran Datuk Seri Najib seperti penganugerahan tanah kurnia yang luas di kawasan Lembah Beriah untuk dibangunkan menjadi resort dan sebagainya.

"Tindakan sebegini langsung tidak melemahkan UMNO bahagian dan kita yakin program dirasmikan 'Bossku' kelak akan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk Bagan Serai," katanya.

Sham turut mengulangi gesaan supaya Kerajaan Perak mengkaji semula arahan melarang penggunaan kemudahan awam kepada parti politik bagi dijalankan program kepartian.

"Asalkan parti politik bayar sewa premis dan patuhi peraturan ditetapkan, mengapa kerajaan negeri perlu menyekat amalan demokrasi rakyat bebas memilih parti politik di negara ini? "katanya.

Sementara itu, Sinar Harian kini sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada pengurusan resort itu.