Wan Azizah sedih ketika beri amanat terakhir

Wan Azizah
Wan Azizah
A
A
A
SHAH ALAM - Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebak dan tidak dapat menahan linangan air mata sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Presiden Kongres Nasional PKR Ke-13 hari ini.

Ketika menyampaikan amanat terakhir sebagai presiden, Wan Azizah mengingatkan setiap ahli parti agar dapat mendokong idealisme dan agenda reformasi selepas ini bagi memperjuangkan hak serta menentang kebatilan.

“Tiada tokoh besar menyertai kita di era awal perjuangan reformasi namun kita tetap gagah berjuang kerana keyakinan kepada agenda dibawa.

“Oleh itu, jangan meremehkan agenda reformasi. Perjuangan tanpa idealisme akan hancur dan musnah akhirnya,” katanya dengan nada sebak.

Kongres Nasional PKR Ke 13 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) selama tiga hari ini bakal menyaksikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai presiden parti bagi menggantikan Wan Azizah.

Selain itu, Wan Azizah turut memberi peringatan kepada setiap pihak agar dapat mempertahankan perjuangan asas dan dasar parti yang digalas sejak 1998 lagi.

“ Ingatlah kuasa, pangkat dan kedudukan ini adalah ujian untuk kita yang berada di puncak.

“Kekuasaan dan kedudukan yang kita miliki adalah kerana perjuangan setiap anggota serta parti yang dinaugi dan bukan kerana kekuatan seorang dua,”katanya.

Tambah Wan Azizah, perjuangan reformis perlu diberi pengiktirafan berikutan golongan ini telah berjuang bagi mempertahankan keadilan tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.
Artikel Berkaitan:


“Sejak awal perjuangan parti, mereka telah bertungkus-lumus bersama malah ada yang hilang kerja, cedera dipukul, dihina, dicaci dan sebagainya. Jesteru, layanlah mereka seadilnya,”katanya.