Penjawat awam jangan melenting bila ditegur: Dr Mahathir

Foto: Bernama
Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Penjawat awam diingatkan supaya tidak melenting apabila ditegur, sebaliknya berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penjawat awam perlu bersikap toleransi, bekerjasama dan mengambil kira teguran yang diberikan.

Menurutnya, beliau membaca laporan di dalam surat khabar menyatakan bahawa mutu perkhidmatan awam kononnya tidak lagi efisien seperti dahulu.

“Mungkin ini benar, mungkin juga ini tidak benar keseluruhannya. Namun demikian, apabila kita ditegur janganlah kita melenting, sebaliknya kita ambil kira teguran itu sama ada mempunyai asas atau pun tidak.

“Jika dapati ada asas-asasnya maka hendaklah kita betulkan diri kita. Dalam badan-badan yang terdapat dalam Jabatan Perdana Menteri ini ada banyak masalah kerana kadang-kadang kita dapati, kita terpaksa bekerja dengan orang yang mungkin tidak sebulu, tidak sesuai dengan kita,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Putra hari ini.

Menurut Perdana Menteri, sikap toleransi amat penting bagi penjawat awam mententeramkan keadaan di sekitar atau di sekeliling mereka.

“Kalau kita tidak toleransi, tidak sanggup bertimbang rasa maka agak sukar bagi kita menjalankan tugas dalam satu badan yang sudah tentu mempunyai orang di pelbagai peringkat.

“Kalau tidak ada kerjasama yang baik di antara orang di peringkat tinggi dan rendah, maka sukar bagi kita untuk melaksanakan tugas kita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penjawat awam perlu sedar bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah kerajaan yang baru memerintah lebih satu tahun.

Dalam tempoh berkenaan katanya, didapati banyak masalah yang sesetengahnya dapat diatasi.

“Tetapi masalah hubungan baik antara yang baharu dan yang lama menjadi satu masalah yang perlu diatasi oleh kita semua,” katanya.

Beliau turut mengajak penjawat awam untuk mengucapkan ucapan ‘maaf zahir dan batin’ yang sering diungkapkan sepanjang meraikan Hari Raya Aidilfitri.

“Kita mesti amalkan apa yang kita sebut, iaitu kalau ada sesuatu yang tidak disenangi oleh kita hendaklah kita fikir bahawa pentingnya kita bermaaf-maafan supaya kita dapat bekerjasama dalam usaha kita mentadbir negara ini dengan baik supaya kita semua akan mendapat manfaat daripada hasil pentadbiran baik yang kita lakukan,” katanya.