Kempunan ‘skodeng’ gadis idaman

Gambar hiasan
A
A

KUALA TERENGGANU- Hasrat seorang lelaki mahu mengintai gadis disukainya dengan bertindak menceroboh bilik mangsa tidak kesampaian selepas kehadiranya disedari dalam kejadian di sebuah rumah di Batu Rakit, Kuala Nerus, Isnin lalu.

Bukan sahaja 'keempunan' mengintai gerak geri gadis idamannya berusia 15 tahun itu malah tindakan melampau suspek berumur 34 tahun berkenaan turut terbalas selepas dicekup polis dua hari kemudian.

Menurut sumber, kejadian disedari remaja perempuan itu selepas terbangun dari tidur, kira-kira jam 3.20 pagi dan ternampak kelibat seorang lelaki sedang masuk ke dalam biliknya.

"Sejurus lelaki itu berpusing ke belakang, mangsa ternampak wajahnya secara jelas dan amat mengenali lelaki tersebut sebelum ini.

"Lelaki yang tinggal satu kampung dengannya dikatakan sering mengganggu mangsa selama ini, tetapi tidak dilayannya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber berkata, meskipun mengetahui kehadirannya disedari mangsa, suspek masih bertindak berani dengan cuba untuk melakukan sesuatu tetapi tidak berjaya selepas gadis itu menjerit meminta pertolongan.

"Terkejut dengan jeritan kuat mangsa, suspek terus lari lintang-pukang menyelamatkan diri dengan terjun melalui tingkap rumah.

"Kemudian, mangsa melakukan pemeriksaan keseluruhan di dalam biliknya, tetapi mendapati tiada barang-barang berharga miliknya yang hilang.

"Yakin suspek memang mempunyai niat jahat ke atasnya, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan dirinya pada masa akan datang," katanya.

Susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Batu Rakit, suspek ditahan ketika berada di tepi jalan, Batu Rakit, Kuala Nerus kira-kira jam 3.30 petang, Rabu lalu.

Sementara itu, Majistret Noradila Ab Latif membenarkan suspek di reman selama empat hari untuk disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.