Bila penerbangan tertunda

A
A
A

TINDAKAN Pejabat Menteri Pertahanan mengeluarkan kenyataan akhbar menyelar Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) kerana menunda penerbangan ke London selama dua jam 30 minit menjadi bahan jenaka di media sosial dan dalam kalangan pengamal media.

Kenyataan tersebut antara lain memaklumkan bahawa Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu gagal menghadiri temu janji penting dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di London pada pagi 16 Jun 2019 kerana penundaan waktu pelepasan pesawat MH002 pada 15 Jun 2019.

Lebih aneh kenyataan akhbar itu dibuat pada 24 Jun 2019 iaitu hampir seminggu selepas peristiwa tersebut. Seolah-olah ada perkara tidak licin dalam pentadbiran negara hari ini sehinggakan pemakluman alasan kegagalan pertemuan tersebut tidak cukup sekadar untuk pengetahuan pihak terbabit sahaja.

Maka timbullah pelbagai sindiran nakal dalam kalangan rakyat seperti apakah agenda yang begitu mendesak sehingga Menteri Pertahanan perlu membuat temu janji di London?

Apakah pegawai Menteri Pertahanan tidak ada nombor telefon pegawai Perdana Menteri sehingga terpaksa buat kenyataan akhbar untuk memaklumkan punca kegagalan hadir dalam temu janji?

Apakah hubungan Menteri Pertahanan dengan Perdana Menteri begitu kritikal sehingga penjelasan peribadi sudah tidak diterima sebagai sesuatu yang benar?

Mungkin tindakan Mohamad menggunakan penerbangan Kuala Lumpur-London lewat malam, bukan awal pagi 15 Jun 2019, yang menjadi punca isu ini.

Menteri Pertahanan dilaporkan mengambil penerbangan lewat malam bagi membolehkan beliau menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Port Dickson pada hari sama.

Artikel Berkaitan:

Dari sudut politik ia memberi gambaran seolah-olah Mohamad tidak mengutamakan kepentingan pertemuan beliau dengan Perdana Menteri berbanding bakal Perdana Menteri.

Selain sudut politik, kenyataan media itu sangat memalukan negara kerana Pejabat Menteri Pertahanan memberi ingatan kepada MAS agar tidak mengulanginya.

Kenyataan akhbar itu adalah satu kejahilan luar biasa dan memberi gambaran bahawa MAS menunda penerbangan mereka sesuka hati. Ia menimbulkan persepsi seolah-olah MAS mesti mengambil risiko berlepas mengikut jadual jika Menteri Pertahanan dalam senarai penumpang.

Sejarah

MAS mempunyai sejarah panjang sebagai salah sebuah syarikat penerbangan terkemuka dunia sejak kerajaan Malaysia dan Singapura membuat pengumuman pemisahan syarikat penerbangan bersama pada 10 April 1970.

Malaysia mengumumkan penubuhan Malaysia Airlines Berhad (MAL). Ia kemudian ditukar kepada Malaysian Airlines Sistem Berhad atau MAS. Tujuan penubuhan syarikat itu ialah untuk menyediakan sistem pengangkutan penerbangan awam yang cekap dan setanding antarabangsa.

Sejak itu, MAS telah melalui pelbagai cabaran dan pencapaian. Pada 5 Disember 1977 pesawat MAS (MH653) telah terhempas di Tanjung Kupang mengorbankan kira-kira 100 nyawa serta membawa kerugian jutaan ringgit. Pesawat didakwa telah dirampas oleh Tentera Merah Jepun (Japanese Red Army).

Kemudiannya, pada 2014 pesawat MH370 dalam perjalanan ke China telah hilang tanpa dikesan sehingga hari ini. Kerajaan mengisytiharkan 227 penumpang dan 12 anak kapal terkorban.

Pada 2015 pula, pesawat MH17 ditembak di kawasan konflik Donestk berdekatan Ukraine mengorbankan 298 orang penumpang dan anak kapal.

Namun dari setiap tragedi MAS bangkit dan sering kali memenangi anugerah antarabangsa dalam pelbagai aspek keselamatan dan layanan perkhidmatan udara.

MAS terkenal antara syarikat penerbangan yang mempunyai kualiti keselamatan dan pasukan teknikal bertaraf dunia. Begitu pun ia tidak menjadikan mereka seratus peratus bebas kecelakaan.

Walaupun tragedi-tragedi itu bukan kecuaian teknikal MAS, namun ia tetap memberi impak negatif. Kenyataan akhbar pejabat Menteri Pertahanan agar MAS tidak mengulangi kelewatan sangat membimbangkan dan memberi tanggapan negatif.

Ia memberi gambaran seolah-olah menteri meminta MAS berkompromi soal keselamatan penumpang dan pesawat untuk berlepas mengikut masa ditetapkan hanya kerana beliau ada mesyuarat penting.

Dalam industri penerbangan pelepasan dan ketibaan pesawat harus diuruskan secara sempurna dengan mengambil kira pelbagai faktor teknikal kerana sedikit kesilapan ia boleh mengundang kecelakaan dan tragedi.