Patah sayap, bertongkat paruh

A
A
A

MOTIVASI memainkan peranan penting dalam kehidupan. Sesiapapun akan melalui satu fasa kehilangan motivasi dan berputus asa ketika menghadapi kesukaran. Namun selagi bernyawa, kita sentiasa berpeluang untuk mengorak langkah memperbaiki keadaan.

Pepatah lama Melayu tidak ketinggalan dalam menggambarkan hal ini seperti yang ternukil dalam ‘patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat siku, patah siku bertongkat dagu, patah dagu bertongkat kuku’. Semangat juang yang digambarkan dalam pepatah ini perlu ada dalam diri setiap individu untuk terus berusaha dan tidak menyerah kalah atau menyalahkan takdir. Teori dan penyelidikan dalam bidang pengurusan menunjukkan bagaimana motivasi bertindak sebagai mekanisme psikologi dalaman individu yang memulakan atau mengekalkan tindakan bagi mencapai wawasan tertentu. Motivasi terbit apabila seseorang individu menyedari terdapat keperluannya yang belum tuntas dan dia berusaha memenuhinya.

Motivasi boleh diibaratkan sebagai lautan yang ada pasang surutnya. Hal ini disebabkan cabaran persekitaran organisasi masa kini yang menyukarkan motivasi ditingkatkan. Motivasi bertambah lemah jika individu bersikap negatif. Terdapat banyak contoh yang menyebabkan motivasi berkurangan.

Kerap merungut atau memberi banyak alasan adalah antara sikap yang menjejaskan motivasi. Rungutan dan alasan membawa kepada tindakan suka menangguh-nangguhkan pekerjaan. Sikap negatif ini lambat-laun menyebabkan produktiviti kerja terganggu dan mencetus pelbagai konflik dalam organisasi.

Motivasi juga akan terjejas apabila individu gagal melakukan tugas mengikut keutamaan. Tidak dapat dinafikan bahawa tugasan sama ada dalam kehidupan peribadi mahupun di organisasi tidak pernah berkurangan. Individu yang gagal menyusun dan menjadualkan tugasannya akan berasa stres dan mengalami kemerosotan motivasi.

Apakah kaedah yang boleh digunapakai untuk meningkatkan motivasi? Salah satu caranya ialah melalui pengamatan pengalaman orang lain mahupun diri sendiri.

Selain itu, kita juga perlu sesekali menoleh ke belakang sambil bermuhasabah diri. Apa jua kekurangan dan kegagalan bukanlah untuk diratapi tetapi diperbaiki.

Pada masa yang sama, kita perlu mencari kekuatan dalaman yang boleh dijadikan perisai bagi menangkis cabaran mendatang. Segala masalah yang menyebabkan matlamat tersasar jauh perlu dijadikan pengajaran berguna dan tidak diulangi.

Artikel Berkaitan:

Kejayaan yang dicapai oleh individu lain bukanlah milik mutlak mereka. Ia diraih melalui usaha gigih yang telah ditunjukkannya di samping kekentalannya mendepani cabaran.

Jika seseorang berjaya mencapai impian dalam kehidupan, ini tidak bermakna dia langsung tidak mempunyai masalah, tiada kelemahan atau tiada kekurangan.

Begitu juga sebaliknya, jika seseorang berasa dia gagal mencapai impian hidup, tidak bermakna dia langsung tidak mempunyai kekuatan atau kelebihan diri.

Itulah alasannya kenapa kita harus belajar daripada pengalaman orang lain. Daripada pengalaman orang lain, kita akan berupaya membuat analisis kendiri, mencari dan menerima kekuatan dan kelemahan diri. Belajar mengakui kekuatan dan kelemahan diri akan menjadikan seseorang individu lebih berjaya, matang dan terus menghargai nikmat kehidupan.

Sekiranya kita gagal mendakap impian dengan keupayaan dan kebolehan diri yang ada, maka tindakan penambahbaikan perlu diambil. Tindakan penambahbaikan ini menuntut pelbagai bentuk perubahan sama ada sekecil-kecil anak ataupun sebesar-besar bapa.

Perubahan juga semestinya bermula dari dalam diri kita sendiri. Jika kita berpegang kepada bidalan genggam bara api biar sampai jadi arang, kesemua impian tidak mustahil dicapai dengan syarat ia diikuti dengan usaha, tekad dan fikiran positif.

Fikiran positif perlu sentiasa dijadikan kemudi dalam mengharungi kehidupan. Tanpa fikiran positif, individu selalu berdepan dengan masalah yang boleh menyekat pembangunan diri.

Fikiran positif bakal melahirkan aura diri yang lebih berkeyakinan dan keupayaan melihat peluang dan ruang penambahbaikan. Kajian psikologi mengesahkan bahawa fikiran positif akan menyebabkan persekitaran bertukar menjadi positif juga.Kerap merungut atau memberi banyak alasan adalah antara sikap yang menjejaskan motivasi."