Penjual sayur maut beca dinaiki dilanggar motor

Keadaan beca mangsa di lokasi kejadian. FOTO IHSAN PEMBACA
Keadaan beca mangsa di lokasi kejadian. FOTO IHSAN PEMBACA
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [KEMASKINI] Seorang penjual sayur warga emas maut selepas beca dikayuhnya dilanggar sebuah motosikal di Jalan Wakaf Mempelam, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Mat Lazim Sulong, 81, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada anggota badan.

Menurut sumber, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa mengayuh becanya sebelum dilanggar sebuah motosikal jenis SYM ditunggang dan dibonceng dua lelaki Rohingya dari arah belakang.

"Sebaik tiba di lokasi, motosikal dari arah pusat bandaraya Kuala Terengganu menghala ke Bukit Payong, Marang, dikatakan terlanggar beca mangsa yang berada di hadapan.

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi.

Menurut sumber, jenazah mangsa diserahkan kepada keluarga sebaik selesai bedah siasat untuk urusan pengembumian.

Tambah sumber lagi, penunggang motosikal berusia 20 tahun yang cedera di kepala, muka dan tangan turut dirawat di hospital sama manakala pembonceng berusia 35 tahun hanya luka di tangan dan kaki.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan.