Bekas pemain bola sepak ternama dunia turun Larkin

(Berdiri dari kiri) Marco Materrazi , Louis Saha, Esteban Cambiasso, Martin Prest, Alistair Edwards (duduk dari kiri) Gianluca Zambrotta, David Trezeguet, Bebeto, Robert Pires, Claude Makelele dan Florent Malouda selepas sidang media mengenai perlawanan amal JDT All Stars hari ini. - Foto Bernama
A
A

BEBERAPA bekas pemain bola sepak ternama dunia sudah bersedia menunjukkan ‘taring’ mereka dalam perlawanan JDT All-Stars Friendly malam ini yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi pertubuhan kebajikan.

Claude Makelele, 46, yang pernah bermain untuk kelab gergasi Real Madrid antara tahun 2000 dan 2003 sebelum menyertai pasukan Chelsea sehingga 2008 berkata, dia dan rakan baru sahaja tiba di bandar raya ini pagi tadi, namun sudah nampak saingan sengit akan berlaku.

“Senarai nama pemain sahaja sudah menakjubkan dan saya gembira mengetahui ada dalam kalangan mereka masih aktif dalam industri ini.

Jadi, saya tidak terkejut jika permainan malam ini bertukar menjadi sukar kerana setiap orang tidak sabar mempamerkan kemahiran masing-masing,” katanya dalam sesi pertemuan bersama media di sini hari ini.

Sementara itu, bekas pemain Newcastle United dan Fulham, Louis Saha, 41, berkata sudah lama tidak beraksi di padang, bukan alasan untuk dirinya gagal menyerlahkan corak permainan yang terbaik malam ini.

Malah menurutnya, kebanyakan pemain yang disenaraikan untuk perlawanan itu pernah ditemuinya dahulu sewaktu kariernya sedang memuncak.

“Sebagaimana yang anda ketahui, kami adalah sebahagian daripada keluarga bola sepak dan kami tidak boleh lari daripada kenyataan itu. Jadi, bagus untuk berjumpa mereka lagi dan saya tidak sabar lagi untuk memberikan persembahan terbaik saya,” katanya.

Perlawanan menemukan pasukan JDT TMJ dan JDT Rest of the World di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin itu menyasarkan untuk mengumpul lebih daripada RM500,000 untuk disalurkan kepada beberapa pertubuhan kebajikan antaranya Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Kutipan dikumpul menerusi hasil jualan tiket yang berharga antara RM20 dan RM50 serta tajaan daripada pelbagai pihak.

Perlawanan juga disertai Marco Materrazi, Esteban Cambiasso, Martin Prest, Gianluca Zambrotta, David Trezeguet, Bebeto, Robert Pires dan Florent Maloud. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia