Rakyat pula beri subsidi pada kerajaan?

Najib dalam perkongsian terbaharu di Facebooknya.
Najib dalam perkongsian terbaharu di Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, harga petrol RON95 sepatutnya antara RM1.90 sehingga RM2.00 sejak sebulan dahulu berbanding harga RM2.20 sekarang.

Katanya, ini berdasarkan harga brent semasa iaitu pada sekitar ASD52 satu tong.

"Belanjawan 2019 diumumkan oleh Guan Eng dengan andaian harga minyak dunia brent pada harga ASD72 satu tong pada awal bulan lepas tetapi selepas itu, harga minyak dunia telah terus jatuh menjunam.

"Sebagai perbandingan, harga Brent semasa BN kalah ialah ASD73 satu tong dan harga RON95 ialah RM2.20 satu liter.

"Ini bermakna, sejak awal bulan lepas, kerajaan PH telah kenakan cukai sebanyak 30 sen seliter ke atas RON95," katanya dalam satu perkongsian di Facebooknya hari ini.

Justeru Najib secara sinis berkata dalam situasi ini rakyat pula memberi subsidi kepada kerajaan.

"Ini bermakna kerajaan PH telah mengutip cukai sebanyak RM120 juta dari penjualan RON95 setiap minggu dari rakyat," katanya.

Jelas Najib dalam isu ini beliau mengingatkan kerajaan PH bahawa ketika berkempen mereka telah membuat pelbagai janji selama di dalam ceramah mereka bahawa mereka akan menurunkan harga petrol kepada RM1.50 hingga RM1.80 satu liter.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, rakyat ada hak untuk menuntut kerajaan PH untuk berhenti dari mengenakan cukai ke atas RON95 dan membenarkan rakyat menikmati harga petrol yang lebih rendah akibat kejatuhan harga minyak dunia.

Katanya, bulan lepas, kerajaan PH telah umumkan mereka akan apung semula harga petrol pada bulan April.

"Mengapa tidak apungkan sekarang juga untuk membenarkan rakyat untuk menikmati harga petrol yang lebih rendah sekarang memandangkan tempoh sekarang ialah tempoh penuh dengan hari perayaan?," soalnya.