X

Kindly register in order to view this article
!

Mencari ibu mithali

A
A

‘IBU mithali ibu sejati, tunggak pada keluarga bahagia'. Begitulah sebahagian daripada lirik lagu Ibu Mithali yang dinyanyikan oleh kumpulan nasyid legenda Malaysia, Orkes Sinar Murni. Kumpulan Rabbani turut menyanyikan lagu Ibu Mithali ini dengan lirik dan irama berbeza.

Anugerah Ibu Mithali biasanya diberikan kepada para ibu yang dilihat berjaya mendidik dan membesarkan anak-anaknya sehingga menjadi doktor, peguam, jurutera, pensyarah, guru, pemimpin masyarakat, mahupun ahli perniagaan.

Tetapi kriteria ibu mithali yang dicari oleh Yayasan OKU Kelantan (YOKUK) agak berlainan sedikit.

Pemenang bakal diberi pengiktirafan pada Karnival YOKUK20 yang akan diadakan pada 20 Julai 2019 di Stadium Mini Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian sempena 20 tahun penubuhan yayasan itu.

YOKUK menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan terapi, kebajikan, latihan vokasional, serta penjagaan paliatif untuk mereka yang tinggal di rumah dan turut mengajar anggota keluarga golongan ini cara-cara menjaga OKU serta melakukan terapi sederhana.

Mereka mempunyai lebih kurang 5,000 pelanggan berdaftar dan semua perkhidmatan yang disediakan adalah percuma.Kejayaan sesebuah institusi keluarga tidak terletak pada bahu seorang ibu sahaja tetapi juga bapa dan seluruh anggota keluarga tersebut.

Maka, pada karnival yang akan datang, YOKUK telah mewujudkan kategori terbuka iaitu Anugerah Ibu/Bapa/Penjaga Mithali yang pada dasarnya bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada mereka yang bersusah payah menjaga dan membesarkan anak-anak atau ahli keluarga yang kurang upaya.

Kisah pemenang Anugerah Ibu/Bapa/Penjaga Mithali pada Karnival YOKUK tahun lepas menarik perhatian saya. Ibu muda berusia 27 tahun yang bernama Nurul Fatihah Mohd Nizam itu mempunyai dua anak yang masih kecil; ketika itu yang sulung berumur tiga tahun dan yang kedua berumur tiga bulan.

Suaminya merupakan pegawai bomba yang bertugas di Kuala Lumpur dan tinggal berjauhan daripadanya dan anak-anak di Pengkalan Chepa.

Menantu

Selepas berkahwin, Nurul Fatihah tinggal bersama ibu dan bapa mentuanya. Bapa mentuanya yang berumur 63 tahun lumpuh dan terlantar di atas katil sejak 2012 kerana masalah tulang belakang.

Ibu mentuanya yang berumur 62 tahun pula kudung kaki kiri dari paras lutut akibat masalah kencing manis. Kedua-duanya memerlukan pemerhatian dan penjagaan yang rapi.

Saya kagum dengan Nurul Fatihah kerana sebagai seorang menantu, dia sanggup berbakti kepada kedua ibu dan bapa mentuanya dalam keadaan dia terpaksa berjauhan daripada suami yang bekerja di Kuala Lumpur selama beberapa tahun di samping menjaga dua anak yang masih kecil.

Malah, dia hanya berpantang selama seminggu selepas kelahiran anaknya atas rasa tanggungjawab menjaga kedua-dua ibu bapa mentuanya.

Nurul Fatihah sentiasa bersedia dan tidak pernah jemu untuk melayan, merawat, mencuci luka, memandi dan menyediakan makanan dan minuman bagi kedua-dua mentuanya.

Setiap tiga bulan, mereka perlu dibawa ke hospital untuk rawatan susulan bersama doktor pakar. Sesungguhnya dunia ini memerlukan lebih ramai insan berhati mulia seperti Nurul Fatihah.

Kita biasa dimomokkan dengan kisah kezaliman ibu atau bapa mentua dalam drama-drama televisyen.

Kita juga disuapkan dengan cerita anak atau menantu yang derhaka terhadap kedua ibu bapa mereka.

Jarang sekali kita didedahkan kepada cerita-cerita wira yang tidak didendang seperti Nurul Fatihah; kisah yang mempunyai nilai-nilai kemanusiaan dan memberi motivasi untuk kita menjadi lebih baik lagi.

Saya ternanti-nanti dan tidak sabar untuk mendengar cerita bakal pemenang Anugerah Ibu/Bapa/Penjaga Mithali sempena Karnival YOKUK20 bulan depan. Kisah sebegini menimbulkan keinsafan bagi diri saya dan semoga ia turut memberi keinsafan kepada masyarakat sekeliling.

Anugerah ini mampu menjadi perangsang kepada anggota masyarakat dalam membentuk keluarga masing-masing dan seterusnya membina masyarakat yang sejahtera dan harmoni.

Penganjuran anugerah seumpama ini adalah penting dan amat wajar kerana ia adalah sebagai salah satu usaha untuk memberikan kesegaran kepada institusi kekeluargaan di Malaysia amnya dan Kelantan khasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!